Berita Berita
Pelajar trauma jubah sekolah hancur digunting, dakwa rakan asrama berdendam tak diberi potong barisan
KUALA LUMPUR 28 April - Seorang pelajar sekolah berasrama dilaporkan berdepan detik cemas apabila mendapati pakaian jubah sekolahnya rosak teruk dipercayai digunting individu tidak bertanggungjawab.
Menurut perkongsian ibu mangsa di media sosial, kejadian disedari anaknya pada awal pagi ketika bersiap untuk ke sekolah sebelum panik dan mendapatkan kebenaran warden untuk memakai pakaian lain.
Difahamkan, pelajar itu kemudian memaklumkan perkara berkenaan kepada seorang guru sebelum menunjukkan keadaan jubah yang didakwa “hancur lebur” akibat digunting.
Ibu mangsa meluahkan rasa kecewa terhadap perbuatan tersebut yang disifatkan melampau, apatah lagi pakaian berkenaan dibeli dengan kos yang tinggi.
Dakwa beliau, tindakan itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati pelaku yang menyimpan dendam selama dua minggu selepas berlaku perselisihan kecil di dewan makan.
Menurutnya, pelaku dikatakan berang apabila tidak dibenarkan memotong giliran, selain mendakwa cuba menampar mangsa sebelum ditepis.
“Cara gunting baju itu menunjukkan kemarahan yang sangat kuat, dan akhirnya dia lepaskan dengan merosakkan pakaian anak saya,” katanya.
Mengulas tindakan pihak sekolah, beliau mendakwa hanya amaran diberikan kepada pelaku dan perkara itu dimaklumkan kepada ibu bapa pelajar terbabit.
Namun, beliau turut meluahkan kekecewaan apabila tiada permohonan maaf diterima daripada keluarga pelaku, selain bayaran ganti rugi hanya dibuat selepas diminta.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan tahap keprihatinan ibu bapa terhadap tingkah laku anak masing-masing, khususnya dalam kes melibatkan unsur buli di sekolah berasrama.
Insiden berkenaan mencetuskan kebimbangan terhadap isu disiplin dan kesejahteraan pelajar di asrama, selain menimbulkan persoalan mengenai langkah pencegahan yang lebih berkesan bagi menangani kes buli dalam kalangan pelajar.
Berita berkaitan
May 1, 2026, 1:51 pm
HKL jelaskan situasi jabatan kecemasan tular sedang dalam proses naik taraf
May 1, 2026, 1:42 pm
Kerajaan sasar gaji median RM3,500 menjelang 2030
May 1, 2026, 1:32 pm
Anwar beri tempoh dua minggu lapor pelaksanaan inisiatif Hari Pekerja 2026
May 1, 2026, 8:38 am
Kegagalan sistem brek punca trak ATM hilang kawalan rempuh Plaza Tol Bukit Teratai
May 1, 2026, 8:17 am
Inisiatif BDR jimat RM1.9 juta subsidi petrol dalam tempoh 10 hari
May 1, 2026, 8:11 am
