TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki ditemui rentung dalam kebakaran lima rumah teres di Kepong

By
|
Kongsi
image

 

KEPONG 30 April - Seorang lelaki maut dalam keadaan tragis selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan lima rumah teres satu tingkat di Jalan E5/11, Taman Ehsan, di sini awal pagi Khamis.

Mangsa berusia 53 tahun ditemukan dalam keadaan rentung di atas katil di dalam bilik tidur salah sebuah rumah yang terlibat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.31 pagi.

“Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bersama bantuan BBP Rawang, BBP Jinjang dan BBP Manjalara dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan lima buah rumah teres satu tingkat kelas A berkeluasan 20 x 60 kaki persegi setiap satu dengan anggaran kemusnahan sehingga 80 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, kebakaran turut memusnahkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Hyundai Getz dan Hyundai XG 250 yang terbakar sepenuhnya.

Beliau berkata, mangsa ditemukan oleh anggota bomba pada jam 4.29 pagi selepas operasi pemadaman dijalankan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.42 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 7.15 pagi.

“Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan dan kerja-kerja ‘overhaul’ sedang dijalankan bagi memastikan tiada lagi sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi itu melibatkan seramai 27 anggota bomba dengan bantuan beberapa jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Water Tanker (WT), Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

+ - reset