Berita Berita
Stesen keretapi Segambut Utara bakal beri manfaat hampir 90,000 penduduk
Oleh AZIM SAID
KUALA LUMPUR, 15 Mei — Stesen Keretapi Segambut Utara hari ini diluncurkan sebagai usaha menangani cabaran kesesakan lalu lintas serta kepadatan penduduk di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Menteri Pengangkutan Malaysia , Anthony Loke berkata pembukaan stesen itu bukan sekadar majlis simbolik, sebaliknya mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam membangunkan rangkaian mobiliti bandar yang lebih menyeluruh dan mampan.
"Stesen Keretapi Segambut Utara dijangka memberi manfaat langsung kepada hampir 90,000 penduduk di kawasan Segambut, Kepong, Jinjang dan Mont Kiara, dengan unjuran peningkatan populasi melebihi 100,000 orang pada masa hadapan," katanya.
Stesen baharu ini terletak secara strategik di antara Stesen Segambut dan Stesen Kepong dengan kos melebihi RM39 juta.
Stesen itu juga berkeupayaan menampung sehingga 8,000 penumpang sejam bagi setiap arah pada waktu puncak, selain dianggarkan mengendalikan hampir 580,000 penumpang setahun.
Projek berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) selaku pemilik dan pengurus aset rel negara, IDP Industrial Development Sdn. Bhd., anak syarikat UOA Development Berhad sebagai pemaju projek, serta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai pengendali perkhidmatan rel.
Dari aspek kemudahan pengguna, stesen ini dilengkapi parkir kenderaan, lif, eskalator, laluan pejalan kaki berbumbung serta kemudahan mesra orang kurang upaya termasuk jubin tactile dan akses tanpa halangan.
RAC turut menyediakan kemudahan parkir percuma selama tiga bulan sempena pembukaan stesen tersebut bagi menggalakkan lebih ramai pengguna beralih kepada pengangkutan awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh , yang turut hadir dalam majlis turut mengumumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah bersetuju untuk melanjutkan lagi laluan Bas GoKL 13 yang akan menghubungkan stesen Segambut Utara dengan MRT Jinjang.
Pembukaan Stesen Keretapi Segambut Utara turut dilihat penting dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, memandangkan Kuala Lumpur menerima kemasukan lebih sejuta kenderaan setiap hari.
Stesen itu juga akan berfungsi sebagai hab mobiliti mikro melalui integrasi dengan perkhidmatan bas, teksi dan e-hailing.
Kementerian Pengangkutan menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh sistem rel negara yang bersepadu, diyakini dan mampan selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2030.
Stesen ini diharap menjadi pemangkin kepada perubahan corak perjalanan masyarakat setempat ke arah penggunaan pengangkutan awam, seterusnya menyumbang kepada Kuala Lumpur yang lebih berdaya huni, mampan dan sejahtera.
Berita berkaitan
May 15, 2026, 7:43 pm
KPM beri keutamaan rayuan perpindahan guru "duka lara"
May 15, 2026, 6:57 pm
Polis siasat kes bayi patah tulang paha ketika terima rawatan jaundis di Sungai Petani
May 15, 2026, 1:56 pm
BM, Sejarah tetap syarat wajib masuk IPTA lepasan UEC dan Tahfiz
May 15, 2026, 1:50 pm
Mekanik maut terjatuh jambatan selepas kereta terbabas
May 15, 2026, 1:45 pm
Penemuan dadah, telefon di lokap: Polis bertugas berdepan gantung tugas
May 15, 2026, 1:42 pm
MOT peruntuk RM1.5 juta kepada DBKL bina, naik taraf 100 hentian bas
May 15, 2026, 1:40 pm
Akses IPTA lepasan UEC, Tahfiz: Anthony Loke pelik pihak membantah
May 15, 2026, 1:34 pm
