Berita Berita
Pengiktirafan UEC dipersetujui Kabinet, tidak wajar dipolitikkan - Anwar
SEREMBAN 15 Mei – Pengiktirafan kerajaan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak seharusnya dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, keputusan berkaitan perkara itu telah pun dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Dunia sekarang, semuanya nak kaitkan dengan politik. Kenyataan telah dikeluarkan semalam (Khamis) bahawa Kabinet bersetuju dengan syarat pemegang UEC perlu lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Jadi, kita beri ruang walaupun mungkin memerlukan beberapa kursus perguruan kerana sebelum ini perkara itu tidak dipersetujui. Namun, apabila sekolah-sekolah Cina menerima syarat tersebut, kita (kerajaan) turut menerimanya dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Seremban pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Menurut beliau, syarat tersebut bukan hanya terpakai kepada pemegang UEC, malah turut melibatkan pelajar sekolah agama Arab, sekolah menengah, institusi tahfiz serta sekolah antarabangsa yang melibatkan pelajar Malaysia.
Tambahnya, ketika ini semua syarat berkenaan diterima namun beberapa perincian masih dalam perbincangan lanjut.
Media pada Khamis melaporkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Kementerian Pendidikan Tinggi memaklumkan langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Bagi calon lepasan SMPC/UEC, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa calon daripada aliran terbabit yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia serta diperakui KPM boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program tertentu di IPTA.
Semua permohonan akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada ketetapan dan keputusan Senat universiti.
Berita berkaitan
May 15, 2026, 7:43 pm
KPM beri keutamaan rayuan perpindahan guru "duka lara"
May 15, 2026, 6:57 pm
Polis siasat kes bayi patah tulang paha ketika terima rawatan jaundis di Sungai Petani
May 15, 2026, 1:56 pm
BM, Sejarah tetap syarat wajib masuk IPTA lepasan UEC dan Tahfiz
May 15, 2026, 1:50 pm
Mekanik maut terjatuh jambatan selepas kereta terbabas
May 15, 2026, 1:45 pm
Penemuan dadah, telefon di lokap: Polis bertugas berdepan gantung tugas
May 15, 2026, 1:42 pm
MOT peruntuk RM1.5 juta kepada DBKL bina, naik taraf 100 hentian bas
May 15, 2026, 1:40 pm
Akses IPTA lepasan UEC, Tahfiz: Anthony Loke pelik pihak membantah
May 15, 2026, 1:34 pm
