TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suspek kurung, dera, liwat remaja di Shah Alam ditahan dalam bilik sewa di KL

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

SHAH ALAM 18 Mei — Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes mengurung dan meliwat seorang remaja lelaki di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, seksyen 32 pada 12 Mei lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan suspek diberkas di sekitar Kuala Lumpur pada 16 Mei ketika berada di sebuah bilik sewa yang dipercayai didiaminya kerana bekerja di ibu negara.

“Suspek kini direman dan tempoh reman pertama akan berakhir esok. 

"Sekiranya siasatan masih belum lengkap, polis akan memohon sambungan reman bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau turut berkata semakan mendapati suspek baru dibebaskan dari penjara pada April tahun lalu.

Polis turut menyiasat latar belakang pekerjaan suspek yang dipercayai bekerja dalam kegiatan pemungut hutang, termasuk status syarikat sama ada berdaftar atau sebaliknya.

“Siasatan masih dijalankan termasuk lokasi bilik sewa suspek di Kuala Lumpur dan kemungkinan suspek baru berpindah dari Selangor,” katanya.

Hasil ujian air kencing menunjukkan suspek negetif dadah.

Mengulas cadangan pemasangan gelang kaki elektronik terhadap penjenayah seksual, Shazeli berkata isu berkenaan pernah dibangkitkan sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa masih meneliti keperluan pelaksanaan mekanisme itu sebelum mengemukakan cadangan pada masa akan datang.

Setakat ini, polis memaklumkan tiada mangsa lain tampil membuat laporan berkaitan suspek.

Dalam kejadian sebelum ini, suspek dipercayai memperdaya mangsa dengan menawarkan pakej internet telefon bimbit sebelum meminta remaja terbabit membantu mengangkat beberapa barangan ke rumahnya.

Mangsa kemudian diliwat dan dikurung sebelum berjaya diselamatkan oleh jiran berhampiran.

 

+ - reset