Berita Berita
Loke puji hanya Anwar berani buka laluan UEC ke universiti awam
JOHOR BAHRU 18 Mei – Setiausaha Agung Democratic Action Party, Anthony Loke memuji keberanian Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam memimpin langkah membuka laluan kemasukan graduan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam bagi beberapa program berkaitan pengajian Cina.
Menurut beliau, tidak seperti pemimpin terdahulu, Anwar berjaya menunaikan janji Pakatan Harapan (PH) untuk menyediakan akses kepada graduan UEC memasuki institusi pengajian tinggi awam.
“Jangan kita terperangkap dalam isu-isu ini. UEC ini isu pendidikan. Akses kepada pendidikan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, petang semalam.
Khamis lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan graduan UEC layak memohon bagi empat program di universiti awam iaitu Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina serta Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata kemasukan graduan UEC ke universiti awam tetap tertakluk kepada syarat ketat termasuk wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata syarat itu selaras dengan ketetapan yang turut dikenakan terhadap pemohon dari luar sistem pendidikan kebangsaan.
Dalam ucapannya, Anthony turut menegaskan komitmen DAP mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sambil berseloroh mengenai penggunaan bahasa dalam pembentangan pemimpin kerajaan.
“Tengok saya punya slaid semua pakai bahasa Melayu. Menteri daripada Keadilan (PKR) pun tak pakai bahasa Melayu. Tadi dia punya slaid pakai bahasa Inggeris,” katanya sambil disambut gelak ketawa hadirin.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan identiti menteri yang dimaksudkan.
Keputusan kerajaan mengiktiraf laluan UEC ke universiti awam sebelum ini menerima kritikan beberapa pemimpin pembangkang termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari.
Fadhli mendakwa kerajaan cuba mengalihkan perhatian masyarakat daripada isu kemasukan lepasan UEC ke universiti awam dengan mengaitkannya bersama pelajar tahfiz, manakala Muhyiddin pula menyifatkan langkah itu berpotensi mewujudkan layanan dua darjat dalam sistem kemasukan universiti awam.
Membalas kritikan tersebut, Anthony menyifatkan sebahagian pengkritik sebagai “hipokrit” kerana ada antara mereka pernah menyokong inisiatif sama ketika bekerjasama dengan PH sebelum ini.
Menurut beliau, Muhyiddin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pernah menyatakan sokongan terhadap agenda itu ketika berada dalam gabungan bersama PH.
Beliau turut menyindir Presiden Malaysian Chinese Association, Wee Ka Siong yang didakwa gagal melaksanakan perkara tersebut walaupun berada dalam kerajaan sejak sekian lama.
Dalam masa sama, Anthony mendedahkan terdapat juga ahli Parlimen daripada PH sendiri yang menentang keputusan itu sehingga mendesak Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir meletakkan jawatan.
“Saya nak ingatkan juga. Bukan saja tokoh-tokoh daripada parti lawan. Malah ada ahli parlimen kita sendiri, dia juga lupa kita punya manifesto.
“Ada ahli parlimen minta Menteri Pendidikan letak jawatan. Saya kata kalau kamu tak angkat manifesto Pakatan Harapan yang memenangkan kamu, kamulah yang patut letak jawatan,” katanya.
Beliau berkata, pengiktirafan UEC merupakan sebahagian daripada janji manifesto PH kepada rakyat pada pilihan raya lalu.
Perdebatan mengenai UEC kembali hangat selepas DAP mempergiat usaha mendapatkan pengiktirafan sijil tersebut sebagai sebahagian agenda reformasi susulan kekalahan besar parti itu pada pilihan raya Sabah sebelum ini.
Selain isu UEC, kerajaan turut bersetuju membuka laluan kemasukan ke universiti awam kepada pelajar daripada sekolah tahfiz atau institusi berkaitan yang memiliki kelayakan penuh SPM.
Calon daripada aliran tersebut boleh memohon pelbagai program menerusi sistem UPUOnline berdasarkan merit serta tertakluk kepada syarat am dan khas yang ditetapkan universiti dan Kementerian Pendidikan.
Berita berkaitan
May 18, 2026, 1:34 pm
Ketua Polis Daerah disiasat lakukan gangguan seksual terhadap anggotanya
May 18, 2026, 1:31 pm
Agong kurniakan 100 lembu korban, titah agih daging kepada asnaf dan golongan B40
May 18, 2026, 12:04 pm
'Sakit hati lihat komen negatif, ingat pelajar tahfiz ni cikai ke?' - Asyraf Wajdi
May 18, 2026, 11:28 am
Ramai terlewat ke tempat kerja, LRT laluan Kelana Jaya rosak pagi tadi
May 18, 2026, 11:16 am
PH yakin hadapi PRN, PRU, gelombang sokongan rakyat kembali memuncak - Yuneswaran
May 18, 2026, 9:26 am
