Berita Berita
'UMNO Johor bertindak jujur, bukan khianat seperti PH di Sabah' - Puad Zarkashi
SHAH ALAM 18 Mei – Pendirian teguh UMNO Johor untuk bergerak solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang tidak wajar disalah tafsir sebagai satu bentuk ugutan politik atau pengkhianatan terhadap struktur Kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan, landskap pentadbiran di bawah pimpinan Menteri Besar Johor ketika ini bukanlah sebuah Kerajaan Perpaduan, sekali gus menjadikan keputusan autonomi parti itu sebagai satu langkah yang telus kerana diumumkan lebih awal kepada umum.
"Di Johor tidak wujud Kerajaan Perpaduan dan tidak timbul soal khianat. UMNO Johor bertindak jujur kerana mengumumkan awal dan secara terbuka.
"UMNO Johor berterus terang, bukan khianat seperti di Sabah. Sudah tahu UMNO letak calon di Kemabong, tetapi kenapa pada minit terakhir PH (Pakatan Harapan) letak calon dari DAP, Noorita Sual di situ?" katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.
Kenyataan balas tersebut dipercayai merujuk kepada amaran keras yang dikeluarkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu konvensyen gabungan itu di Johor baru-baru ini, yang mengingatkan mana-mana pihak agar tidak cuba mengganggu-gugat kestabilan kerajaan pusat.
Perdana Menteri dalam ucapan tersebut turut menegaskan beliau tidak gentar dengan taktik sedemikian dan menyifatkan pihak yang cuba bermain politik sebagai 'budak-budak', selain bersedia mengembalikan mandat kepada rakyat di seluruh negara sekiranya ada rakan kongsi yang sudah bosan dengan formula kerjasama sedia ada.
Mengulas lanjut, Mohd Puad yang juga Speaker DUN Johor memperingatkan kepimpinan PH bahawa Barisan Nasional (BN) bukanlah entiti komponen di dalam pakatan tersebut, sebaliknya gabungan yang dibentuk di peringkat Persekutuan hanyalah atas dasar tanggungjawab demi menstabilkan negara pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Jadi, jangan kebudak-budakan menuduh orang lain sebagai budak. Di mana 'bil hikmahnya? Johor tetap jadi Johor," ujarnya ringkas bagi menoktahkan polemik pembahagian kerusi di kubu kuat UMNO itu.
Berita berkaitan
May 18, 2026, 3:03 pm
Les' Copaque tegaskan Upin Ipin karya Malaysia selepas ada yang 'claim' dari Indonesia
May 18, 2026, 2:26 pm
Rupiah sekali lagi jatuh ke paras terendah dalam sejarah
May 18, 2026, 1:54 pm
Kes bunuh di Kelantan melonjak lebih 100 peratus
May 18, 2026, 1:46 pm
Tragedi di ladang sawit: Bapa lapan anak maut ditimpa tandan buah seberat 15kg
May 18, 2026, 1:34 pm
Suspek kurung, dera, liwat remaja di Shah Alam ditahan dalam bilik sewa di KL
May 18, 2026, 1:34 pm
Ketua Polis Daerah disiasat lakukan gangguan seksual terhadap anggotanya
May 18, 2026, 1:31 pm
Agong kurniakan 100 lembu korban, titah agih daging kepada asnaf dan golongan B40
May 18, 2026, 12:32 pm
