TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rupiah sekali lagi jatuh ke paras terendah dalam sejarah

By
|
Kongsi
image

 

BENGALURU 18 Mei - Mata wang rupiah Indonesia mencatat paras terendah baharu hari ini, mengetuai kejatuhan mata wang Asia sedang pesat membangun susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang mencetuskan lonjakan harga minyak serta pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai aset selamat.

Situasi itu berlaku apabila serangan dron baharu dilaporkan di Teluk, termasuk mengenai aset di Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain Arab Saudi memintas dron yang memasuki ruang udaranya, manakala Iran pula dilaporkan memperketat kawalan ke atas Selat Hormuz, laluan kritikal penghantaran minyak dunia.

Rupiah, antara mata wang paling lemah di rantau ini, susut 1.19 peratus kepada 17,668 berbanding dolar AS, sekali gus mencatat kejatuhan harian terbesar sejak awal September.

Penurunan itu turut membawa mata wang berkenaan ke paras terendah baharu buat kali kedua dalam tempoh seminggu, serta meletakkannya di landasan untuk mencatat prestasi bulan Mei paling buruk sejak 2016, ketika pasaran Indonesia kembali dibuka selepas cuti umum dan berdepan tekanan jualan.

Tekanan terhadap rupiah kini bukan sahaja berpunca daripada kejutan harga minyak, malah turut dipengaruhi kebimbangan terhadap disiplin fiskal Indonesia, aliran keluar dana asing, kebebasan bank pusat serta tadbir urus pasaran saham susulan penyingkiran beberapa saham daripada indeks MSCI.

Dalam masa sama, pasaran saham di Jakarta turut menjunam lebih empat peratus kepada 6,425.95 dalam sesi kerugian hari kelima berturut-turut, sekali gus mencecah paras terendah sejak akhir April 2025.

Indeks penanda aras itu telah kehilangan lebih 25 peratus nilainya setakat tahun ini.

Bank Indonesia (BI) pula terus berusaha mengekang kelemahan rupiah dengan campur tangan dalam pasaran spot, kontrak hadapan tanpa serahan domestik dan luar pesisir, serta pasaran bon kerajaan sekunder, selain berjanji menggunakan instrumen dasar monetari bagi mengurangkan tekanan terhadap mata wang berkenaan.

Situasi ini menjadikan mesyuarat dasar minggu ini sebagai tumpuan utama, dengan kadar dasar BI kekal pada 4.75 peratus selepas dikekalkan tujuh kali berturut-turut, manakala Citigroup menjangkakan kemungkinan kenaikan kadar faedah apabila pembuat dasar menilai keseimbangan antara sokongan pertumbuhan ekonomi dan pemulihan keyakinan terhadap rupiah.

Dalam perkembangan berkaitan, rupee India turut mencatat paras terendah sepanjang masa pada 96.185 berbanding dolar AS, susut 0.2 peratus, meneruskan trend kejatuhan sejak konflik Iran mendorong kenaikan harga minyak pada akhir Februari.

Mata wang itu telah susut kira-kira 5.5 peratus sejak tempoh berkenaan, menjadikannya antara mata wang Asia berprestasi paling lemah pada 2026.

Menurut penganalisis MUFG, Michael Wan, mata wang negara membangun Asia kini tertekan akibat pengukuhan dolar AS, peningkatan hasil sebenar bon Amerika serta harga tenaga yang tinggi.

Beliau berkata, negara pengimport minyak seperti India dan Filipina menerima tekanan berganda, manakala mata wang sensitif hasil bon seperti rupiah turut terkesan oleh faktor domestik.

Antara mata wang lain, ringgit Malaysia turut melemah 0.7 peratus kepada 3.9750 berbanding dolar AS, menghampiri paras psikologi 4.000, sekali gus berada di landasan untuk mencatat kerugian sesi ketiga berturut-turut.

Won Korea Selatan dan dolar Taiwan masing-masing susut 0.4 peratus dan 0.3 peratus.

Indeks dolar AS pula meningkat untuk sesi keenam berturut-turut dengan kenaikan lebih 1.5 peratus sepanjang tempoh itu, manakala penanda aras mata wang pasaran sedang pesat membangun MSCI merosot 0.2 peratus untuk hari ketiga berturut-turut apabila penjualan besar-besaran bon global mengetatkan keadaan kewangan bagi aset berisiko.

Wan menambah bahawa penjualan bon itu bukan semata-mata didorong jangkaan inflasi, sebaliknya hasil bon yang diselaraskan inflasi turut meningkat dengan ketara, sekali gus memberi tekanan lebih besar terhadap aset berisiko dan mata wang pasaran sedang pesat membangun. - Reuters

+ - reset