Berita Politik
Isu sertai BERSAMA: "Bawa bukti tangkap layar ke mahkamah, mesti kena gelak satu Malaysia" - Rafizi
KUALA LUMPUR 19 Mei – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menyelar dakwaan Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh dan mencabar beliau untuk membawa bukti kononnya beliau telah menyertai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) sebelum melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen.
Rafizi menyifatkan dakwaan pemilikan bukti dalam bentuk tangkap layar (screenshot) keahliannya itu sebagai satu jenaka politik yang tidak berpijak di bumi nyata jika diheret ke institusi perundangan.
“Saya tahu Setiausaha Agung PKR (Fuziah) sibuk gebang dia ada bukti screen shot kononnya saya masuk BERSAMA lebih awal, cubalah dia bawak bukti screen shot dia ke mahkamah. Mesti kena gelak dengan satu Malaysia. Pembuktian keahlian sesuatu parti di mahkamah ialah rekod dari parti yang disertai,” katanya menerusi satu hantaran di laman media sosialnya hari ini.
Menurut Rafizi, dokumentasi rasmi BERSAMA secara jelas membuktikan bahawa beliau hanya mendaftar sebagai ahli parti baharu itu sejurus selepas urusan peletakan jawatannya sebagai wakil rakyat dan penamatan keahlian PKR diselesaikan sepenuhnya.
Beliau turut mengesahkan telah menyerahkan borang keluar parti secara rasmi menerusi aplikasi ADIL sejurus selepas menerima pengesahan bertulis daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai peletakan jawatannya selaku Ahli Parlimen.
"Semuanya dibuat teratur mengambil kira prinsip demokrasi dan keperluan undang-undang. Saya kosongkan kerusi untuk memulangkan semula mandat kepada rakyat," tegas beliau.
Mengulas mengenai status kelayakan bertanding, Rafizi menjelaskan isu larangan bertanding selama lima tahun bagi bekas Ahli Parlimen yang meletak jawatan tidak lagi berbangkit memandangkan fasal tersebut telah dipinda dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2022 seiring dengan pengenalan Akta Antilompat Parti.
Malah, beliau menegaskan siri tindakan strategik ini tidak mengaktifkan klausa bon tuntutan RM10 juta oleh PKR kerana perjanjian tersebut secara jelas menyatakan bon tidak terpakai jika seseorang Ahli Parlimen mengosongkan kerusi Parlimen terlebih dahulu sebelum keluar dari parti.
Mengenai keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK), beliau menyerahkan keputusan mutlak kepada Speaker Dewan Rakyat, namun memberi bayangan bahawa secara teknikalnya PRK tidak perlu diadakan memandangkan kekosongan tersebut berlaku selepas tempoh tiga tahun penggal pentadbiran parlimen bermula.
Dalam hantaran sama, Rafizi turut menitipkan pesanan terbuka dan nasihat kepada rakan-rakan seperjuangan lama yang masih kekal di dalam blok PKR dan Pakatan Harapan (PH).
“Jangan lagi gundah gulana pasal PKR, berhijrahlah dengan hati yang terbuka dan tenang. Tinggalkan apa-apa yang toksik itu dalam PKR, kita tumpu untuk membesarkan Kancil supaya ia boleh bawa kebaikan kepada masyarakat. Kepada kawan-kawan yang kekal di dalam PKR dan PH, saya doakan yang baik-baik sahaja. Pesan saya hanya satu; berkata benarlah kepada pimpinan walaupun itu perkara yang paling susah kita nak buat,” katanya lagi.
Berita berkaitan
May 19, 2026, 12:38 pm
Sateerah Hassan letak jawatan Timbalan Ketua Wanita PKR Putrajaya
May 17, 2026, 6:15 pm
'PH kini main sentimen ketakutan, bukan lagi naratif harapan' - Nik Nazmi
May 17, 2026, 3:21 pm
Rafizi, Nik Nazmi umum ambil alih Parti Bersama Malaysia
May 16, 2026, 2:49 pm
PRN Johor medan terbaik uji kekuatan BN bertanding solo - KJ
May 13, 2026, 6:49 pm
Rafizi Ramli, Nik Nazmi umum hala tuju politik baharu Ahad ini
May 11, 2026, 9:54 pm
