TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Isu tanding semua 56 kerusi DUN: "Siapa khianat siapa? Kami menang sebelum wujud Kerajaan Perpaduan" - Ahmad Maslan

By
|
Kongsi
image

TAIPING 19 Mei – UMNO Johor tampil menyelar dan menangkis sekeras-kerasnya dakwaan pihak tertentu yang menuduh parti itu melakukan pengkhianatan politik susulan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan menegaskan, naratif khianat yang cuba dimainkan oleh pihak lawan adalah satu sudut pandangan politik yang tersasar dan tidak berasas sama sekali dari segi kronologi sejarah pembentukan kerajaan negeri.

Menurut beliau, BN telah berjaya mandat mutlak secara bersendirian untuk membentuk kerajaan negeri Johor pasca-PRN pada Mac 2022, iaitu beberapa bulan lebih awal sebelum formula gabungan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan diwujudkan pada November tahun yang sama.

“Tidak timbul dakwaan khianat, dan pihak-pihak yang menuduh UMNO sebagai melakukan khianat itu merupakan sudut pandangan politik yang salah. Kita (BN dan Pakatan Harapan (PH) masih belum bersama semasa kita menang (PRN Johor). Oleh itu, tidak ada sebarang pengkhianatan kerana kami menang sebelum wujud Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pengamal media selepas menghadiri Sesi Lawatan Kerja Dan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pembangunan di Hospital Taiping, pada Selasa.

Ahmad yang juga merupakan Timbalan Menteri Kerja Raya menjelaskan, selain bersandarkan kepada desakan padu daripada suara akar umbi di seluruh rantaian bahagian, rekod kemenangan cemerlang pada PRN 2022 menjadi pemangkin utama untuk BN mengekalkan status quo bergerak solo.

Beliau turut mengingatkan semua pihak bahawa kejayaan BN menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN ketika itu dicapai melalui pertembungan sengit tiga hingga empat penjuru menentang blok-blok politik lain termasuk PH dan Perikatan Nasional (PN).

“Siapa khianat siapa? Lainlah kalau ketika itu kami dibantu oleh PH, atau orang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), atau DAP, sehingga BN menang 40 daripada 56 kerusi DUN. Tetapi itu tidak berlaku. Oleh sebab kemenangan lalu, kami yakin untuk bertanding di semua kerusi DUN,” bidasnya lagi.

Ditanya sama ada ketetapan solo itu bakal mengeruhkan dinamika hubungan politik serta keharmonian antara BN dan PH menjelang PRN mahupun Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), Ahmad menjelaskan bahawa landskap politik di Johor mempunyai keunikan tersendiri yang tidak boleh disamakan dengan negeri lain.

“Johor unik daripada negeri-negeri lain, begitu juga Melaka. Kita tengok juga apa keputusan Melaka dan Sarawak nanti. Ketiga-tiga negeri ini membentuk kerajaan sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan,” ujarnya bagi merumuskan pendirian rasmi parti.

+ - reset