TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sengaja gilis anjing jalanan, SAFM desak MBJB, polis heret pemandu pikap merah ke mahkamah

By
|
Kongsi
image

ULU TIRAM 20 Mei – Tindakan kejam pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis pikap yang didakwa sengaja melanggar seekor anjing jalanan sehingga meronta-ronta kesakitan mencetuskan kemarahan luar biasa dalam kalangan warganet selepas rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu tular di media sosial.

Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM), R. Kalaivanan, mengutuk sekeras-kerasnya insiden tidak berperikemanusiaan itu yang dikesan berlaku di Jalan Jenawi 13, Taman Puteri Wangsa, di sini, kira-kira jam 11.24 pagi, 15 Mei lalu.

Berdasarkan penelitian klip video berdurasi 20 saat dan maklumat awal daripada orang awam, kenderaan pikap berwarna merah tersebut didakwa mempunyai kaitan dengan aktiviti operasi yang dijalankan oleh pihak kontraktor, subkontraktor, ejen, atau wakil lantikan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kalaivanan menegaskan, walaupun sesebuah operasi kawalan haiwan terbiar mahu dilaksanakan di kawasan perumahan, ia wajib mematuhi lunas undang-undang, tatacara operasi piawai (SOP) yang betul, serta mengekalkan etika berperikemanusiaan tanpa perlu menyeksa haiwan tersebut.

"SAFM menyeru pihak berkaitan, termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan polis untuk mengambil tindakan segera termasuk di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan mana-mana undang-undang lain yang terpakai.

"Mereka harus kenal pasti pemandu, pemilik kenderaan dan mana-mana pihak yang bertanggungjawab ke atas penggunaan kenderaan pada masa terbabit," katanya menerusi satu kenyataan rasmi, hari ini.

Rakaman CCTV yang tular itu memaparkan detik menyayat hati apabila pikap merah berkenaan secara terang-terangan merempuh anjing malang itu di atas laluan raya berhampiran deretan rumah penduduk, menyebabkan haiwan tersebut cedera parah sebelum dibiarkan meronta di atas jalan.

Sementara itu, jurucakap rasmi MBJB ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihak pengurusan tertinggi majlis bandaraya telah menerima aduan rasmi berhubung kes tersebut dan kini sedang meneliti perkara itu secara terperinci.

"Kami akan beri maklum balas segera berhubung kejadian ini," jelas jurucakap berkenaan bagi memastikan siasatan dalaman dijalankan dengan telus jika ia melibatkan rantaian pihak rujukan atau ejen lantikan MBJB.

+ - reset