TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wartawan diasak skuad keselamatan berbaju hitam, polis panggil saksi siasat kekecohan Konvensyen PH

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 20 Mei – Polis akan memanggil beberapa orang saksi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan dan tindakan agresif yang didakwa dilakukan oleh skuad keselamatan parti politik terhadap sekumpulan pengamal media ketika berlangsungnya Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026, Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat mengesahkan bahawa Bahagian Siasatan Jenayah telah membuka kertas siasatan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang petugas media wanita, semalam.

"Pada jam 2.16 petang semalam, polis mengesahkan satu laporan diterima daripada wanita tempatan berusia 32 tahun yang menyatakan diasak sekumpulan individu berpakaian hitam sehingga berlaku sentuhan fizikal dalam sebuah perhimpunan di sini.

"Perkara ini tular apabila ia mendapat liputan media dengan beberapa rakaman video turut dimuat naik di media sosial yang memaparkan insiden berkenaan. Kita sedang menjalankan siasatan dan akan memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Chuan Huat turut memberi peringatan tegas kepada orang awam serta penyokong parti supaya tidak mengeluarkan sebarang ulasan, spekulasi liar, atau komen di platform digital yang boleh mengganggu kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.

Isu berkenaan mula mendapat perhatian meluas selepas Kelab Media Johor (KMJ) tampil membuat laporan polis rasmi kelmarin bagi membela nasib petugas media yang dikasari ketika sedang menjalankan tugas membuat liputan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

KMJ menzahirkan rasa kesal dan mengecam tindakan melampau unit keselamatan perhimpunan tersebut yang bertindak di luar batasan sehingga mencetuskan insiden tolak-menolak, provokasi fizikal, serta pertelingkahan mulut yang tidak sepatutnya berlaku terhadap pengamal media.

+ - reset