TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Negara akan kuat jika rakyat ada adab' - Syazwani Noh cadang Rukun Negara dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 20 Mei – Rukun Negara wajar dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai asas kenegaraan yang lebih kukuh dan mengikat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syawani Noh.

Beliau berkata, Rukun Negara bukan sekadar lafaz rasmi dalam majlis atau upacara sekolah, sebaliknya merupakan asas pembinaan negara Malaysia yang berdaulat, harmoni dan bersatu padu.

Dalam perbahasan sebelum ini, beliau turut menekankan kepentingan prinsip “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara” sebagai tunjang kestabilan negara serta lambang penghormatan kepada institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi payung kepada rakyat.

Menurutnya, ketika ini semakin banyak pihak dilihat mula mempersoalkan perkara asas berkaitan identiti negara, adab terhadap institusi diraja, perpaduan kaum serta semangat kenegaraan, dan ia tidak boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Dewan Rakyat mempertimbangkan usaha besar dan bersejarah untuk memasukkan prinsip Rukun Negara ke dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai nilai asas kenegaraan yang wajib dihormati serta dipertahankan oleh semua pihak.

Jelasnya, cadangan tersebut bukan bertujuan menyekat kebebasan rakyat, sebaliknya untuk memperkukuhkan semangat patriotisme, memperkasakan perpaduan nasional serta memastikan generasi akan datang memahami asas pembentukan negara.

“Asas negara ini dibina atas hormat kepada Raja, Perlembagaan, undang-undang serta nilai kesopanan dan kesusilaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Rukun Negara tidak boleh sekadar menjadi slogan, sebaliknya perlu dijadikan roh kepada pentadbiran negara dan panduan kepada rakyat Malaysia.

“Perbezaan politik boleh diraikan, tetapi kesetiaan kepada negara dan penghormatan kepada institusi negara mesti kekal menjadi titik persamaan kita semua,” katanya.

“Negara akan kuat apabila rakyatnya masih mempunyai adab, hormat dan rasa cinta kepada tanah airnya,” tambah beliau. - Media Telus

+ - reset