TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

​​Isu kad temujanji: 'Bahasa Melayu kekal, tetapi bahasa lain perlu dalam sektor kesihatan' - DAPSY pertahan KKM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Mei – Pemuda DAP memuji tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengambil pendekatan menyeimbangkan dasar kerajaan berkaitan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan keperluan etika perubatan.

Menurut DAPSY, tindakan kementerian itu disifatkan profesional selain mencerminkan keprihatinan terhadap kepelbagaian bahasa dalam kalangan masyarakat negara ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan penjelasan KKM berhubung isu tular penggunaan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak baru-baru ini.

“DAPSY menegaskan bahawa majoriti rakyat Malaysia sememangnya mampu berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan baik dan lancar.

“Namun begitu, hak untuk memperoleh maklumat kesihatan yang tepat tidak seharusnya dinafikan bagi sebahagian kecil masyarakat yang tidak fasih menggunakan Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DAPSY turut menegaskan penggunaan bahasa lain dalam sektor kesihatan tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman kepada Bahasa Melayu, sebaliknya bertujuan memastikan pesakit memahami maklumat kesihatan dengan jelas, khususnya golongan warga emas yang kurang fasih berbahasa Melayu.

Menurut kenyataan itu, etika perubatan mengutamakan penyampaian maklumat kesihatan yang tepat demi menyelamatkan nyawa, justeru bahasa perlu berfungsi sebagai medium komunikasi yang memudahkan, bukannya menjadi penghalang.

Kenyataan tersebut turut merujuk kepada pengalaman negara ketika pandemik COVID-19 apabila pelbagai bahasa digunakan dalam proses saringan dan komunikasi kesihatan bagi memastikan usaha membendung penularan wabak berjalan berkesan.

Dalam masa sama, DAPSY menegaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kekal termaktub dan tidak boleh dipertikaikan di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia, namun penggunaan bahasa tambahan dalam situasi tertentu dilihat sebagai keperluan praktikal di lapangan.

“Ancaman sebenar terhadap Bahasa Melayu bukanlah penggunaan bahasa tambahan di klinik, tetapi sikap segelintir pihak yang memainkan isu ini secara politik tanpa memahami realiti kerja petugas kesihatan,” menurut kenyataan itu.

+ - reset