TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rapid Rail ganti 26 set tren baharu, tingkat kapasiti LRT Laluan Kelana Jaya

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

PETALING JAYA 20 Mei – Rapid Rail Sdn Bhd mengumumkan pelaksanaan pelbagai inisiatif penambahbaikan berterusan di Laluan Kelana Jaya termasuk penggantian 26 set tren baharu bagi meningkatkan kapasiti serta kecekapan operasi perkhidmatan LRT berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi LRT,  Nor Azmi Mohd Yusof berkata usaha penambahbaikan dilaksanakan secara berperingkat sebagai sebahagian pelan jangka panjang bagi memastikan perkhidmatan lebih selamat, stabil dan boleh dipercayai untuk penumpang.

“Langkah tersebut dilihat selari dengan peningkatan mendadak jumlah penumpang Laluan Kelana Jaya yang kini mencecah purata 289,282 penumpang sehari, berbanding sekitar 150,889 pada 2020,” katanya.

Peningkatan ini mencerminkan pertumbuhan tahunan kira-kira 11.5 peratus, dengan trend dijangka terus meningkat pada tahun-tahun mendatang.

Penggantian 26 set tren baharu menjadi antara inisiatif utama bagi menambah kapasiti serta kecekapan operasi, di samping mengurangkan kebergantungan kepada tren sedia ada yang telah lama beroperasi.

Menurutnya, tren pertama dijangka tiba pada tahun 2029 dan keseluruhan proses penggantian dijangka selesai menjelang akhir 2030.

“Insya-Allah bermula 2031, kita akan beroperasi dengan tren baharu ,” katanya.

Sementara menunggu tren baharu, pihak operasi kini melaksanakan pendekatan ‘condition based maintenance’ bagi memastikan tren sedia ada kekal selamat dan boleh digunakan.

Pendekatan jangka pendek ini membolehkan komponen ditukar lebih awal walaupun belum mencapai tempoh penukaran mengikut manual.

“Jika pemeriksaan mendapati komponen menunjukkan tanda perlu ditukar dalam tempoh enam bulan atau setahun, ia akan ditukar lebih awal bagi memastikan tren kekal terpercaya dan selamat,” jelasnya.

Pada masa sama, Rapid Rail turut menaik taraf sistem kritikal termasuk sistem radio komunikasi, sistem isyarat dan pendigitalan kamera litar tertutup (CCTV).

Penambahbaikan ini bertujuan memperkukuh pemantauan operasi dan mempercepatkan tindak balas secara nyata sekiranya berlaku gangguan.

Dari sudut keselamatan dan kemudahan penumpang, beberapa projek turut dilaksanakan termasuk pemasangan Passenger Screen Door (PSD) dan Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) bagi meningkatkan tahap keselamatan stesen.

Selain itu, sistem maklumat penumpang dan sistem siar raya turut dipertingkat secara berterusan bagi memastikan penyampaian maklumat yang lebih jelas dan pantas ketika gangguan perkhidmatan.

"Bagi memperkemas pengurusan aliran penumpang terutama waktu puncak, Rapid Rail mengaktifkan Rapid Troopers serta menempatkan Transit Officer (TO) di dalam tren untuk membantu penumpang dan menyelaras tindakan segera sekiranya berlaku isu teknikal atau kecemasan," jelasnya.

Semua inisiatif ini akan dilaksanakan secara berfasa dengan sasaran siap menjelang 2030 sebagai sebahagian pelan penambahbaikan berterusan bagi memastikan Laluan Kelana Jaya kekal antara tulang belakang pengangkutan awam bandar yang selamat, stabil dan berdaya tahan.

Rapid Rail menegaskan pihaknya akan terus memantau keberkesanan setiap inisiatif serta komited menambah baik mutu perkhidmatan dari semasa ke semasa demi keselesaan dan keyakinan penumpang.

+ - reset