TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Santai

KARVA Travel lebar sayap ke Malaysia; sedia penuhi keperluan umrah warga emas, pesakit kronik

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 Mei – Agensi pengurusan kembara terkemuka, KARVA Travel & Tours Sdn. Bhd. secara rasmi melancarkan operasinya di pasaran Malaysia hari ini, dengan memperkenalkan pendekatan pakej premium serta bimbingan secara langsung bagi pasaran umrah dan pelancongan mesra Muslim.

Pelancaran jenama ini turut mendapat sokongan padu daripada figura terkenal tanah air, Dato’ Haji Aaron Aziz dan isteri, Datin Hajjah Diyana Halik. Komitmen agensi ini dalam menyediakan sokongan aspek perubatan amat dekat dengan pasang surut pengalaman peribadi mereka yang pernah menguruskan ahli keluarga terdekat bagi rawatan Dialisis Peritoneal Ambulatori Berterusan (CAPD).

Pengalaman tersebut membuka mata mereka mengenai kepentingan penyelarasan logistik yang kemas, persediaan rapi, serta sokongan perubatan khusus bagi memberikan keyakinan kepada golongan warga emas dan penghidap penyakit kronik untuk beribadah di Tanah Suci dengan tenang.

“Pada usia mencecah 50 tahun, saya semakin memahami perjalanan hidup adalah satu amanah. Saya mahu menggunakan platform dan pengalaman yang ada untuk membawa lebih banyak kebaikan, mendekatkan diri kepada nilai Islamik serta berkongsi dakwah dengan cara yang positif dan penuh keikhlasan.

“Melalui KARVA Travel, saya berharap dapat membantu lebih ramai jemaah menunaikan umrah dengan rasa tenang, yakin dan dibimbing dengan baik. Insya-Allah, pakej umrah pada 24 Jun hingga 4 Julai 2026 yang turut dibuka kepada warga Singapura ini akan menjadi salah satu usaha memudahkan lebih ramai tetamu Allah menyahut panggilan suci ini," kata Aaron Aziz dalam sidang media pelancaran tersebut.

Mula ditubuhkan di Singapura pada tahun 2022 di bawah teraju Haji Jai Wahab dan Hajjah Rozza Ramli, KARVA Travel Group Pte. Ltd. telah membina reputasi kukuh menerusi penawaran program ikonik seperti “First Umrah” dan “All Ladies Umrah by Ustazah Liyana Musfirah”.

Sebagai pakar bimbingan umrah pertama, agensi ini meletakkan keutamaan kepada aspek pengurusan yang holistik termasuk penyediaan Kelas Manasik Umrah yang komprehensif, khidmat asatizah berpengalaman, penginapan hotel premium berdekatan Haramain, serta kemudahan ketua rombongan yang terlatih dalam bidang perubatan bagi menguruskan kebajikan jemaah yang memerlukan bantuan mobiliti mahupun dialisis.

Selain itu, KARVA Travel turut merintis pakej umrah khas buat golongan wanita menerusi jalinan kerjasama dengan Hayaa’ Network Pte. Ltd. Program unik ini menggabungkan bimbingan hukum-hakam wanita secara dekat oleh Ustazah Liyana Musfirah bersama pengisian aspek kesihatan mental dan emosi oleh psikoterapis, Maimunah Mosli di bawah inisiatif Revival of Faith.

Berpegang kepada falsafah "Khidmat Dari Hati", agensi ini mengehadkan saiz kumpulan jemaah yang lebih kecil bagi memastikan setiap pelanggan menerima perhatian yang bersifat peribadi (personalized). Di samping itu, syarikat ini turut menjalinkan kerjasama strategik bersama barisan syarikat penerbangan global terkemuka seperti Saudia Airlines, Malaysia Airlines, Emirates, Qatar Airways, dan Turkish Airlines bagi menjamin keselesaan sepanjang penerbangan.

Di samping memfokuskan kepada pengurusan umrah dan haji, KARVA Travel turut meluaskan skop perkhidmatannya menerusi penawaran pakej percutian antarabangsa mesra Muslim, pengurusan ibadah qurban dan badal umrah, serta kembara berbentuk pendidikan spiritual.

Dengan pembukaan cawangan rasmi di Kuala Lumpur, KARVA Travel Malaysia bertekad untuk muncul sebagai antara jenama yang paling dipercayai dalam industri dengan menetapkan tanda aras baharu yang mementingkan keselamatan, integriti, serta layanan penuh ihsan buat seluruh para jemaah.

+ - reset