TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pengawal keselamatan maut motosikal terbabas langgar anjing melintas di Alor Gajah

By
|
Kongsi
image

ALOR GAJAH 26 Mei – Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditungganginya terbabas dan hilang kawalan dipercayai akibat melanggar seekor anjing yang melintas secara tiba-tiba di Jalan Londang, Masjid Tanah di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.35 malam itu, mangsa, Mohd Azhar Mohd Noor, 43, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Pekan Masjid Tanah menuju ke Londang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai melanggar seekor anjing yang melintas jalan secara tiba-tiba sebelum terbabas.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati jalan berkenaan merupakan jalan satu lorong dua hala dengan permukaan jalan kering, cuaca baik serta kawasan kejadian berada dalam keadaan gelap namun mempunyai lampu jalan.

Katanya, bangkai seekor anjing turut ditemukan di tepi jalan berhampiran lokasi kejadian.

“Motosikal terlibat telah dibawa ke Balai Polis Trafik Alor Gajah dan akan dihantar ke PUSPAKOM bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Log Gia Xao.

+ - reset