Berita Berita
Caj jalan Genting Highlands bermula 28 Mei, kereta dikenakan RM5
KUALA LUMPUR 26 Mei – Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB), pengendali sah rangkaian jalan raya Genting Highlands, akan melaksanakan caj jalan raya secara berfasa bermula 28 Mei dan 28 Jun 2026.
Menerusi kenyataan dikeluarkan LCSB, semua pengguna jalan raya yang dibenarkan, kecuali kategori yang dikecualikan, diwajibkan membayar caj jalan semasa memasuki Jalan Genting Highlands bermula 28 Mei ini.
Bayaran akan dikutip di Pintu Masuk Genting Highlands di Genting Sempah serta Pintu Masuk Gohtong Jaya di bulatan Gohtong Jaya.
Bagi kenderaan Kelas 1 melibatkan kereta dan van, pengguna akan dikenakan bayaran RM5 di kedua-dua pintu masuk berkenaan.
Lori sederhana dalam Kelas 2 pula dikenakan caj RM15, manakala lori berat Kelas 3 dikenakan RM25 di kedua-dua lokasi.
Selain itu, teksi dalam Kelas 4 dikenakan bayaran RM3.30, manakala bas dalam Kelas 5 dikenakan caj RM5.
Menurut LCSB, kenderaan di bawah Kelas 2, 3, 4 dan 5 perlu menggunakan Lorong Khas atau sistem pengecaman plat lesen (LPR).
“Bagi kenderaan kecemasan, motosikal dan kenderaan persendirian milik penjawat awam yang tempat kerja mereka berada di institusi kerajaan yang dikenal pasti di Genting Highlands, adalah dikecualikan daripada caj jalan raya,” menurut pemakluman itu yang dikongsikan di laman web LCSB.
Sementara itu, bermula 28 Jun, LCSB akan mendaftarkan sehingga dua kenderaan Kelas 1 bagi penduduk tetap Genting Highlands yang layak untuk menikmati kadar keutamaan 10 peratus lebih rendah daripada kadar biasa bagi setiap kemasukan menerusi Lorong LPR atau Lorong Khas.
“Kenderaan berdaftar tidak akan dikenakan sebarang caj sebelum 28 Jun,” katanya.
Dalam masa sama, LCSB turut memperkenalkan skim pas bermusim selama enam bulan khusus untuk penduduk tetap berdaftar.
“Pas bermusim ini akan melayakkan pemegang masuk tanpa had ke Jalan Genting Highlands sepanjang tempoh sah laku melalui Lorong LPR atau Lorong Khas dan mendapat kemudahan lebih baik dan penjimatan kos yang ketara.
“Penduduk tetap yang berminat boleh mendapatkan pas bermusim dengan mengemukakan permohonan dan membuat pembayaran diperlukan,” kata LCSB.
Berita berkaitan
May 26, 2026, 12:25 pm
Harga maksimum tiket ke Sabah, Sarawak RM499 sempena Gawai, baki kerajaan tanggung - Anthony
May 26, 2026, 11:19 am
MP DAP gesa kerajaan lebih tegas tangani naratif ekstremis, provokasi kaum
May 26, 2026, 11:15 am
Pelaksanaan Pasport Malaysia Antarabangsa versi baharu 1 Jun ini ditangguhkan
May 26, 2026, 11:02 am
Penunggang motosikal maut rempuh kalbat air simen dalam perjalanan pulang ke rumah
May 26, 2026, 10:16 am
Wisma Putra sahkan seorang rakyat Malaysia meninggal dunia dalam bangunan runtuh di Filipina
May 26, 2026, 10:02 am
Pengawal keselamatan maut motosikal terbabas langgar anjing melintas di Alor Gajah
May 26, 2026, 8:23 am
