TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Inisiatif BDR, kerajaan jimat subsidi petrol RM4.22 juta membabitkan 2.14 juta liter bahan api

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 26 Mei – Pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam yang diperkenalkan sejak bulan lalu membuahkan hasil positif apabila kerajaan berjaya menjimatkan perbelanjaan subsidi bernilai lebih RM4.22 juta, bersamaan 2.14 juta liter bahan api.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan bahawa rekod penjimatan yang signifikan itu berjaya dicatatkan setakat 25 Mei semalam, selepas inisiatif berkenaan mula dikuatkuasakan secara rasmi pada 15 April lalu.

Beliau menegaskan bahawa kelonggaran BDR yang diberikan ini bukanlah tiket untuk para pekerja culas daripada tanggungjawab, sebaliknya ia merupakan satu strategi serampang dua mata bagi mengawal lonjakan kos penggunaan petrol negara.

Sebelum ini, prestasi jangka pendek setakat 30 April lalu menunjukkan kerajaan telah berjaya menyelamatkan dana subsidi sebanyak RM1.9 juta membabitkan 979,632 liter petrol RON95 dalam tempoh hanya 10 hari pertama pelaksanaan, hasil penglibatan sekitar 200,000 kakitangan awam.

Bagi memastikan kelancaran gerak kerja dan produktiviti sepanjang fasa BDR ini, Shamsul Azri menggesa semua ketua jabatan untuk mengaplikasikan formula TEGAS yang merangkumi aspek tindakan pantas, empati, gagasan jelas, adaptif, serta strategi efektif dalam memantau prestasi pegawai masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena merasmikan Majlis Apresiasi ‘Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness’ (ERAT) di sini malam tadi, yang turut dihadiri oleh Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr. Ismail Bakar.

Di samping itu, beliau turut menitipkan pesan agar seluruh warga perkhidmatan awam sentiasa menghayati nilai akronim 'MALAYSIA' iaitu mesra, adil, luhur, amanah, yakin, setia, islah, dan arif bagi mengelakkan budaya pilih kasih atau bersikap berat sebelah ketika menyantuni urusan masyarakat awam tanpa mengira status kedudukan mereka.

+ - reset