Berita Berita
Ibu muda mengaku salah campak seorang daripada bayi kembarnya dari tingkat 10 hingga sebabkan kematian
JOHOR BAHRU 3 Jun – Seorang ibu muda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian secara tidak sengaja seorang daripada bayi kembarnya yang baru dilahirkan bulan lalu.
Tertuduh, Nuran Batrisya Jamaludin, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian seorang bayi perempuan dengan niat mendatangkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematiannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir kereta Blok Rajawali, Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 2, Taman Sutera Utama, di sini, antara pukul 11 pagi hingga 2.30 petang pada 20 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh yang masih bujang dan tidak bekerja memohon dibenarkan diikat jamin atas alasan perlu menjaga seorang lagi bayi yang merupakan kembar kepada mangsa selain mempunyai tanggungan keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin tempatan serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu saksi.
Mahkamah turut menetapkan 3 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta menjatuhkan hukuman.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang wanita tempatan kerana dipercayai mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat 10 sebuah rumah pangsa di bandar raya ini dalam kejadian bulan lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi berkenaan di kawasan parkir flat tersebut kira-kira pukul 2.40 petang.
Menurut beliau, suspek yang merupakan ibu kandung kepada bayi berkenaan ditahan pada pukul 12 tengah hari di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Berita berkaitan
June 3, 2026, 8:33 pm
RON97, RON95 dan diesel turun 20 hingga 30 sen
June 3, 2026, 8:22 pm
Polis nafi kehilangan pendaki wanita di Gunung Batu Putih dikaitkan unsur jenayah
June 3, 2026, 8:13 pm
Bomba selamatkan kucing Parsi ekor tersepit spring kerusi urut
June 3, 2026, 3:09 pm
Azam Baki beri keterangan kepada polis, nafi dakwaan Albert Tei
June 3, 2026, 2:45 pm
Wanita PKR tekad pastikan kemenangan PH di semua DUN Johor - Fadhlina
June 3, 2026, 2:28 pm
