Berita Berita
Keluarga kepada rider maut dirempuh hingga melambung di Klang bakal tuntut pampasan lebih RM1 juta bulan hadapan
KLANG 3 Jun – Keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, dijangka memfailkan tuntutan pampasan melebihi RM1 juta terhadap individu yang didakwa menyebabkan kematian penghantar barangan itu dalam kemalangan tragis pada Mac lalu.
Peguam yang mewakili keluarga mangsa, Mohd. Faizi Che Abu berkata, tindakan sivil tersebut kini berada pada peringkat akhir penyediaan dokumen sebelum difailkan selewat-lewatnya bulan depan.
Menurut beliau, pihaknya sedang melengkapkan beberapa dokumen penting termasuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai pendapatan sebenar Allahyarham sebelum kematiannya bagi tujuan pengiraan tuntutan.
“Pada 15 Mei lalu, firma guaman saya telah menghantar surat kepada syarikat penghantaran tempat Allahyarham bekerja sambilan bagi mendapatkan maklumat pendapatan tahunan.
“Bagaimanapun, syarikat berkenaan membalas pada 20 Mei lalu dengan menyatakan mereka tidak dapat berkongsi maklumat tersebut tanpa perintah mahkamah, dengan merujuk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan mahkamah di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menghormati pendirian syarikat berkenaan dan akan memfailkan prosiding untuk mendapatkan perintah mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam minggu ini.
Menurutnya, perintah itu diperlukan bagi membolehkan isteri Allahyarham selaku pentadbir harta pusaka memperoleh akses kepada maklumat pendapatan tersebut.
“Jumlah pendapatan keseluruhan ini amat penting bagi menentukan nilai tuntutan kehilangan tanggungan yang dialami keluarga,” ujarnya.
Mohd. Faizi berkata, pihaknya juga telah memperoleh slip gaji Allahyarham daripada pekerjaan tetapnya sebagai pembantu stor di sebuah syarikat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan urusan pengurusan harta pusaka Allahyarham sedang dijalankan melalui Pejabat Pusaka Kecil memandangkan nilai aset yang terlibat kurang daripada RM1 juta.
Bagaimanapun, katanya, beberapa aset hartanah memerlukan proses tambahan termasuk mendapatkan Letters of Administration (LA).
Sementara itu, isteri Allahyarham, Nur Nadia Abdul Majid dijadual menandatangani afidavit hari ini di hadapan Pesuruhjaya Sumpah sebagai sebahagian daripada proses dokumentasi tuntutan tersebut.
“Selepas semua dokumen lengkap, kita akan failkan tuntutan pada Julai ini. Jika lebih awal siap, kita akan failkan lebih awal,” katanya.
Sebelum ini, keluarga Allahyarham dilaporkan merancang untuk menuntut pampasan melebihi RM1 juta bagi mendapatkan keadilan buat balu dan tiga anak mangsa yang kehilangan tempat bergantung serta kasih sayang seorang bapa.
Jumlah sebenar tuntutan pampasan itu akan ditentukan berdasarkan pengiraan gaji, sumbangan Allahyarham kepada keluarga dan tanggungan yang ditinggalkan.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 11.47 pagi pada 29 Mac lalu, Amirul Hafiz maut selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kereta di Jalan Raya Barat dekat sini.
Mangsa dilaporkan tercampak ke atas sebuah kenderaan lain akibat impak pelanggaran tersebut.
Lebih menyayat hati, kejadian itu berlaku ketika Allahyarham keluar untuk membeli buku matematik bagi anak sulungnya.
Berita berkaitan
June 3, 2026, 8:33 pm
RON97, RON95 dan diesel turun 20 hingga 30 sen
June 3, 2026, 8:22 pm
Polis nafi kehilangan pendaki wanita di Gunung Batu Putih dikaitkan unsur jenayah
June 3, 2026, 8:13 pm
Bomba selamatkan kucing Parsi ekor tersepit spring kerusi urut
June 3, 2026, 3:09 pm
Azam Baki beri keterangan kepada polis, nafi dakwaan Albert Tei
June 3, 2026, 2:45 pm
Wanita PKR tekad pastikan kemenangan PH di semua DUN Johor - Fadhlina
June 3, 2026, 2:28 pm
