TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kedai kopi di Pulau Pinang diarah cabut pelekat ‘halal’ dan ‘tidak halal’ di ruang makan, bimbang cetus sensitiviti kaum

By
|
Kongsi
image

 

GEORGETOWN 3 Jun – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan sebuah kedai kopi di Jalan Terengganu di sini menanggalkan pelekat tanda yang membezakan ruang pelanggan untuk makanan halal dan tidak halal susulan kontroversi yang tular di media sosial.

Pengerusi Gantian Jawatankuasa Kesihatan Awam MBPP, Tan Soo Siang berkata, tindakan segera telah diambil terhadap pengusaha premis berkenaan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang ramai berhubung pemasangan pelekat tersebut.

Beliau berkata, isu itu timbul selepas sebuah gerai burger milik orang Melayu mula beroperasi di dalam kedai kopi berkenaan dan meletakkan pelekat tanda yang menunjukkan ruang tempat duduk berasingan bagi pelanggan yang mengambil makanan halal dan tidak halal.

"MBPP mengarahkan kedai kopi itu untuk segera membuang pelekat tanda terbabit dan mengeluarkan amaran kepada pengusaha.

"Tindakan itu diambil selepas perkara itu tular dan menarik perhatian orang ramai," katanya kepada New Straits Times, hari ini.

Tan berkata, tindakan pengusaha premis berkenaan berpotensi menimbulkan sensitiviti kaum dan agama yang tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat majmuk.

"Kami tidak mahu isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum atau mewujudkan salah faham dalam kalangan orang ramai.

"Pelekat tanda itu boleh dianggap memecahbelahkan dan boleh mencetuskan isu sensitif yang melibatkan kaum dan agama," tambahnya.

Menurut beliau, pengusaha gerai terbabit juga didapati tidak mendapatkan kelulusan MBPP sebelum memasang pelekat tanda tersebut.

Tan berkata, gerai berkenaan tidak mempunyai pensijilan halal yang sah dan oleh itu tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan kawasan sebagai halal atau tidak halal di dalam premis.

Beliau menegaskan semua pengusaha makanan perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan serta mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan sebelum memasang sebarang papan tanda atau melaksanakan langkah tertentu yang boleh memberi kesan kepada pelanggan.

Katanya, MBPP akan terus memantau keadaan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan serta mengelakkan kejadian seumpama itu berulang pada masa hadapan.

+ - reset