TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bomba selamatkan kucing Parsi ekor tersepit spring kerusi urut

By
|
Kongsi
image

IPOH 3 Jun – Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seekor kucing baka Parsi selepas ekornya tersangkut pada bahagian spring sebuah kerusi urut di sebuah kediaman di Taman Kinding Flora, Tanjung Rambutan, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan bahawa pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 2.52 petang.

Susulan itu, sepasukan anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun telah dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira 12 minit kemudian.

Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati ekor haiwan peliharaan yang berbulu lebat itu telah tersepit rapat pada mekanisme spring kerusi berkenaan sehingga menyebabkannya gagal untuk bergerak.

Menurut Sabarodzi, mengikut maklumat awal, kucing tersebut dipercayai telah melompat ke arah pemiliknya sebelum tergelincir lalu terjatuh ke dalam ruang sempit di bahagian mesin urut tersebut.

Bagi mengelakkan sebarang kecederaan, ketua operasi mengambil langkah menyelamat dengan mengarahkan anggota menggunakan peralatan kesesuaian untuk melonggarkan komponen skru yang mengikat bahagian spring terbabit.

Operasi mengeluarkan kucing itu berjaya diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh 16 minit tanpa sebarang komplikasi sebelum haiwan tersebut dipulangkan semula kepada pemiliknya dalam keadaan selamat.

+ - reset