TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekas Timbalan Speaker DUN Kedah ditemukan lemas di sungai

By
|
Kongsi
image

ALOR SETAR 7 Jun – Bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Mohd Jamil Md Idross ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Teluk Bagan di Jalan Tandop dekat sini, pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mayat mangsa yang berusia 78 tahun ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Alor Setar pada jam 8.10 pagi, kira-kira 50 meter dari lokasi beliau dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

Menurut beliau, ahli keluarga memaklumkan kali terakhir melihat Allahyarham kira-kira jam 11.30 malam semalam sebelum menyedari kehilangannya sekitar jam 5 pagi tadi.

Keluarga kemudian menemukan selipar mangsa berhampiran sungai dan mengesyaki warga emas itu terjatuh ke dalam kawasan berkenaan.

Syed Basri berkata, laporan polis dibuat pada jam 7.18 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

"Siasatan awal mendapati mangsa baharu keluar dari hospital kira-kira sebulan lepas dan mempunyai sejarah penyakit kronik termasuk diabetes serta tekanan darah tinggi. Allahyarham juga pernah menerima rawatan akibat jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa tinggal bersama isteri serta dua anak perempuan berusia 29 dan 27 tahun.

Menurutnya, keluarga turut memaklumkan bahawa Allahyarham tidak mempunyai sejarah kemurungan atau masalah psikiatri.

Tambah beliau, siasatan polis mendapati rutin harian mangsa adalah mengalihkan kenderaan miliknya dari dalam kawasan rumah ke bahagian luar rumah yang terletak berhampiran sungai.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat, manakala polis menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.

Allahyarham Mohd Jamil merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor mewakili UMNO dan pernah berkhidmat bagi penggal 1995 hingga 1999 serta 2004 hingga 2008.

Beliau turut dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Kedah ke-14 dan memegang jawatan tersebut dari 2018 hingga 2023.

+ - reset