Berita Berita
PRN Johor: DAP sasar tanding 17 kerusi
IPOH 7 Jun – DAP berhasrat menambah jumlah kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menyasarkan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding 14 kerusi pada pilihan raya lalu.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, cadangan tersebut akan dibawa dalam rundingan kerusi Pakatan Harapan (PH), namun setakat ini masih belum dimuktamadkan kerana proses perbincangan bersama parti-parti komponen masih berjalan.
Menurut beliau, rundingan kerusi kini berada di peringkat akhir dan hanya melibatkan satu atau dua kerusi yang masih belum diputuskan.
"Setakat ini DAP berhasrat untuk bertanding di 17 kerusi. Semua rundingan kerusi hampir selesai tetapi selagi dokumen belum ditandatangani semuanya belum muktamad.
"Persediaan dan kerja-kerja parti ketika ini juga memberi fokus kepada 17 kerusi tersebut," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, rundingan kerusi dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi memandangkan tiada banyak isu atau pertikaian membabitkan DAP.
Katanya, beberapa faktor utama menjadi pertimbangan dalam menentukan pembahagian kerusi termasuk kekuatan jentera parti, kesesuaian calon serta potensi kemenangan di sesuatu kawasan.
"Dalam rundingan kerusi, faktor jentera dan calon sering menjadi pertimbangan kerana setiap parti mempunyai kekuatan tersendiri di kawasan masing-masing.
"Pada masa sama, kita juga mahu memastikan agihan kerusi yang ditandingi dalam kalangan parti adalah seimbang memandangkan Johor mempunyai 56 kerusi DUN,” katanya.
Menyentuh soal calon, beliau mengesahkan senarai yang bakal diketengahkan akan menampilkan muka baharu termasuk dalam kalangan golongan muda dan wanita.
Bagaimanapun, beliau berkata jumlah atau peratusan calon baharu belum dapat didedahkan kerana proses pemilihan masih belum dimuktamadkan.
"Senarai calon perlu mendapat persetujuan Jawatankuasa Five-Man Committee yang dibentuk oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.
"Walaupun saya Pengerusi Negeri Johor keputusan muktamad bukan di peringkat negeri. Sebab itu saya tidak boleh nyatakan peratusan calon baharu ketika ini," katanya.
Ditanya mengenai calon yang bakal menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim yang mengumumkan pengunduran sebelum ini, Nie Ching berkata senarai calon akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Pada PRN Johor 2022, PH memenangi 12 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Daripada jumlah itu, DAP menyumbang 10 kerusi menerusi kemenangan di Jementah, Tangkak, Bentayan, Penggaram, Mengkibol, Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai dan Senai.
PKR serta Parti Amanah Negara (Amanah) pula masing-masing memenangi satu kerusi iaitu di Bukit Batu dan Simpang Jeram.
Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.
Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan pilihan raya negeri tersebut.
Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Berita berkaitan
June 27, 2026, 12:05 pm
Kerajaan kaji dasar reklamasi air negara demi tampung keperluan pusat data
June 27, 2026, 11:51 am
Onn Hafiz sedia berjuang habis-habisan hadapi saingan dua penjuru di DUN Machap
June 27, 2026, 10:37 am
Proses penamaan calon PRN Johor selesai, tempoh berkempen 14 hari bermula secara rasmi
June 27, 2026, 10:28 am
Dua pelajar maut terperangkap dalam BMW terbakar di Lebuhraya Duke
June 26, 2026, 7:48 pm
Bom lama ditemui di Lapangan Terbang Labuan, operasi tergendala
June 26, 2026, 6:16 pm
Kerajaan percepat bina rumah sewa mampu milik untuk penjawat awam - Anwar
June 26, 2026, 5:34 pm
Mahkamah tolak semakan, Isa Samad kekal dipenjara enam tahun, denda RM15.45 juta
June 26, 2026, 5:03 pm
