TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Flat haram’ di Sungai Tekali akan dirobohkan

By
|
Kongsi
image

BANGI, 10 Jun — Penempatan bertingkat serta perkampungan warga asing di Sungai Tekali, Hulu Langat yang dikaitkan dengan komuniti Rohingya akan berdepan tindakan perobohan tidak lama lagi selepas didapati dibina secara tidak sah.

Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Jusni Hashim mengesahkan bahawa struktur kediaman menyerupai flat itu didirikan di atas tanah persendirian, manakala beberapa binaan lain menceroboh kawasan rizab jalan dan sungai.

Isu pencerobohan tanah kerajaan berkenaan dilaporkan kerap berulang biarpun pihak berkuasa tempatan sudah melancarkan pelbagai fasa tindakan serta operasi penguatkuasaan sejak sembilan tahun yang lalu.

Rekod Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat menunjukkan siri Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah telah diserahkan kepada pemilik struktur terbabit secara berkala iaitu pada tahun 2017, 2020, 2021, sebelum amaran terakhir dikeluarkan pada 13 Mac tahun lalu.

Sebuah operasi perobohan berskala besar yang mengumpulkan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk pihak polis, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), dan Jabatan Kerja Raya (JKR) juga pernah dilaksanakan di tapak berkenaan pada tahun 2017.

Pihak MPKj turut mengenakan kompaun serta notis amaran di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 antara tahun 2019 hingga 2021 atas kesalahan mendirikan premis tanpa kelulusan bertulis.

Sementara itu, LUAS telah memulakan prosiding siasatan di bawah Enakmen LUAS 1999 terhadap dalang di sebalik pembinaan haram tersebut yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Kawasan penempatan itu juga pernah diserbu menerusi Ops Kutip oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama pihak polis pada Februari tahun lepas, yang menyaksikan penahanan seramai 42 pendatang asing tanpa izin atas pelbagai kesalahan dokumen.

Berdasarkan peruntukan undang-undang semasa, PDT Hulu Langat bersama agensi berkaitan menegaskan komitmen mereka untuk meruntuhkan sepenuhnya struktur bertingkat itu bagi membanteras isu pencerobohan tanah secara total.

Premis empat tingkat yang uzur itu mula meraih perhatian umum selepas tular sebuah klip video pendedahan oleh personaliti radio, Azad Jasmin yang mengetengahkan isu keselamatan struktur bangunan serta penyambungan utiliti elektrik dan air yang mencurigakan di situ.

+ - reset