TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Agong tarik balik gelaran 'Tan Sri' Isa Samad susulan sabitan rasuah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan penarikan balik Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Datuk Mohd Isa Abdul Samad selepas beliau disabitkan kesalahan rasuah dan kini menjalani hukuman penjara.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penarikan balik darjah kebesaran itu berkuat kuasa pada 8 Jun lalu selaras dengan peruntukan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia.

Menurut JPM, tindakan tersebut dibuat berdasarkan Perenggan XXV dan XXVIA statut berkenaan yang memperuntukkan bahawa darjah kebesaran boleh ditarik balik sekiranya penerimanya disabitkan dengan sesuatu kesalahan.

“Penarikan balik kurniaan ini adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia Perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika disabitkan dengan sesuatu kesalahan.

“Ia juga susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara,” menurut kenyataan itu.

Mohd Isa, 76, kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskannya.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu sekali gus mengembalikan sabitan, hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadap bekas Pengerusi Felda itu.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FICSB).

Beliau dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta, dan berdepan tambahan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 membebaskan Mohd Isa daripada semua pertuduhan sebelum keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu.

+ - reset