TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes ugut NFA, Azam Baki bersyukur kebenaran akhirnya terbukti

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 Jun – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyifatkan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan kes ugutan jenayah terhadap dirinya sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) sebagai bukti bahawa kebenaran akhirnya terbukti.

Beliau berkata, keputusan itu mengesahkan dakwaan yang dibuat ahli perniagaan, Tei Jiann Cheing atau lebih dikenali sebagai Albert Tei, tidak mempunyai asas kukuh selain bercanggah dengan fakta serta bukti yang diperoleh pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

“Sebagai individu yang diamanahkan untuk memimpin SPRM ketika itu serta melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, saya terpaksa bersabar berdepan pelbagai persepsi negatif susulan tuduhan tersebut.

“Walaupun saya mempertahankan diri, terdapat pihak-pihak tertentu yang sememangnya bersikap anti terhadap saya dan SPRM yang tidak mahu menerima penjelasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azam, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dipercayai dibuat dengan niat tidak baik serta didalangi pihak tertentu bagi mencemarkan imej SPRM, kerajaan dan dirinya secara peribadi.

Bagaimanapun, beliau berkata, sepanjang tempoh siasatan dijalankan, beliau tidak pernah berasa gusar kerana yakin berada di pihak yang benar.

“Bagaimanapun, saya tiada masalah untuk menerima kecaman dan kritikan pada peringkat awal kerana saya tidak gusar dengan apa yang berlaku,” katanya sambil menegaskan terdapat bukti yang menunjukkan dakwaan berkenaan tidak benar.

Beliau turut menyifatkan perkembangan itu sebagai pengajaran kepada semua pegawai penguat kuasa supaya terus menjalankan amanah dengan penuh integriti tanpa tunduk kepada tekanan atau kempen persepsi yang boleh menjejaskan usaha menegakkan undang-undang.

Katanya, pegawai penguat kuasa tidak seharusnya gentar atau khuatir mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan meskipun berdepan tohmahan dan serangan persepsi.

“Pegawai penguat kuasa perlu berani membuat keputusan berdasarkan fakta, bukti dan undang-undang serta tidak takut bertindak hanya kerana berdepan tuduhan atau serangan persepsi daripada pihak yang mempunyai kepentingan tertentu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan AGC memutuskan untuk mengklasifikasikan siasatan terhadap dakwaan ugutan jenayah yang dibuat Albert Tei terhadap Azam sebagai NFA selepas penelitian menyeluruh dilakukan ke atas kertas siasatan yang dikemukakan polis.

+ - reset