TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki Rohingya ditahan JPJ, selamba tunggang motosikal tanpa lesen

By
|
Kongsi
image

ALOR SETAR, 10 Jun – Cubaan seorang lelaki etnik Rohingya untuk melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) gagal apabila dia berjaya ditahan dalam satu operasi di Jalan Simpang Empat, Tokai, semalam.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, warga asing berusia 26 tahun itu cuba meloloskan diri pada jam 10.30 pagi selepas terserempak dengan anggota Unit Penguat Kuasa Bermotosikal (Falcon) JPJ Kedah yang sedang melakukan rondaan pemantauan.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit berjaya ditahan dan ketika disoal siasat dia memaklumkan sedang dalam perjalanan ke pasar. Hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu gagal mengemukakan lesen memandu yang sah,” katanya hari ini.

Susulan itu, suspek dikenakan tindakan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen. Dalam operasi tersebut, sebanyak enam saman dikeluarkan melibatkan kesalahan lesen dan teknikal kenderaan.

Motosikal yang ditunggang lelaki berkenaan telah disita dan dibawa ke Depoh Simpanan Kenderaan JPJ Alor Setar. Pihak JPJ menegaskan bahawa pemilik asal motosikal tersebut turut bakal berdepan tindakan undang-undang kerana membenarkan kenderaannya digunakan oleh individu tanpa lesen.

+ - reset