TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hamzah Zainudin umum tubuh Parti Wawasan Negara, nama diilhamkan Abdul Hadi

By
|
Kongsi
image

TANAH MERAH 13 Jun – Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, hari ini secara rasmi mengumumkan penubuhan sebuah parti baharu yang dinamakan Parti Wawasan Negara, selepas beliau dipecat daripada Bersatu pada Februari lalu.

Pengumuman mengejut itu dibuat oleh Ahli Parlimen Larut berkenaan ketika berucap pada Konvensyen Reset Malaysia yang berlangsung di Tapak Ekspo Taman Harmoni di sini, hari ini.

Menariknya, Hamzah mendedahkan bahawa nama 'Parti Wawasan Negara' tersebut telah diilhamkan dan diberikan sendiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

“Ramai tanya saya, saya bersama Reset di bawah parti apa? Di sini, saya ingin umumkan bahawa saya akan bersama-sama dalam Parti Wawasan Negara. Nama itu diberi oleh Ayah Chik (Abdul Hadi). Parti ini baru dilahirkan dan baru bertatih. Kami mahu bersama-sama dengan Pas, Gerakan dan parti-parti lain. Insya-Allah, kita akan bersama-sama membentuk kesepakatan,” katanya.

Konvensyen berkenaan turut memperlihatkan solidariti yang kuat dalam kalangan bekas pimpinan Bersatu apabila sebahagian besar pemimpin yang senasib dengan beliau—sama ada yang telah dipecat, digantung, mahupun diberikan surat amaran oleh pengurusan tertinggi Bersatu sebelum ini—turut hadir memberikan sokongan penuh.

Antara barisan pemimpin utama yang kelihatan hadir di lokasi termasuk Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; serta Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Penubuhan parti baharu ini dijangka bakal memberikan dinamika serta landskap politik baharu kepada blok pembangkang, khususnya dalam usaha mereka membina jalinan kerjasama strategik bersama Pas dan Gerakan mendepani pilihan raya akan datang.

+ - reset