Berita Berita
Kewujudan 'tumbler' sorok vape: AADK gesa ibu bapa lebih peka barangan anak
KUALA NERUS 13 Jun – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesan taktik baharu penyalahgunaan bahan terlarang menerusi penjualan 'tumbler' atau botol air yang mempunyai ruang khas rahsia untuk menyembunyikan rokok elektronik (vape).
Produk tersebut kini dikesan boleh didapati secara terbuka di pasaran termasuk menerusi platform jualan dalam talian.
Susulan perkembangan itu, Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Siti Mariam Mursidan menyarankan ibu bapa supaya lebih peka dan memeriksa barangan peribadi anak-anak. Langkah ini penting memandangkan tabiat penggunaan vape merupakan antara faktor awal yang mendorong golongan remaja dan pelajar terjebak ke dalam kancah penyalahgunaan dadah yang lebih serius.
Kewujudan botol air hibrid itu mula mendapat perhatian selepas tular satu klip video di media sosial memaparkan rampasan barangan berkenaan daripada seorang pelajar oleh guru sebuah sekolah menengah di Lembah Klang.
"Ibu bapa kena tahu apa anak mereka buat (bawa). Komunikasi penting, jangan masing-masing asyik dengan gajet sahaja. Pemantauan ini bukanlah bermaksud kita mengongkong anak remaja, sebaliknya ia merupakan pendekatan terbaik untuk membimbing mereka agar tidak terjebak dengan gejala tidak sihat," katanya selepas merasmikan program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah peringkat Terengganu di Bandar Al Wathiqu Billah Shah di sini, hari ini.
Siti Mariam menambah, kakitangan AADK kini giat menjalankan peranan proaktif dengan turun ke padang mendekati golongan pelajar di seluruh negara bagi memberi kesedaran awal agar mereka tidak mencuba aktiviti yang cenderung ke arah ketagihan seperti merokok dan menghisap vape.
Statistik empat negeri sempadan catat kadar tertinggi
Mengulas mengenai statistik semasa, Siti Mariam mendedahkan sebanyak 191,832 penagih dan penyalah guna dadah direkodkan di seluruh negara, dengan kadar nasional semasa mencecah 560 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
Data menunjukkan empat buah negeri yang terletak berhampiran dengan sempadan negara merekodkan catatan kes tertinggi:
-
Kelantan: 1,105 orang bagi setiap 100,000 penduduk
-
Terengganu: 997 orang bagi setiap 100,000 penduduk
-
Perlis: 970 orang bagi setiap 100,000 penduduk
-
Kedah: 965 orang bagi setiap 100,000 penduduk
Negeri-negeri lain yang turut mencatatkan kadar melebihi purata nasional ialah Pahang (795), Pulau Pinang (757), Melaka (659), Perak (579), dan Negeri Sembilan (553).
Sementara itu, Johor merekodkan kadar 499 orang diikuti Sarawak (498), Kuala Lumpur (488), Wilayah Persekutuan Labuan (451), dan Selangor (338). Wilayah Persekutuan Putrajaya pula mencatatkan kadar 276 orang, manakala Sabah merekodkan statistik penagihan terendah di Malaysia dengan nisbah 230 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
Berita berkaitan
June 14, 2026, 1:18 am
9 SM Teknik kini dijenama sebagai Sekolah Berasrama Penuh Teknikal - Fadhlina
June 13, 2026, 5:29 pm
Isu salah laku seksual: KPM arah JPN, PPD bertindak tegas tanpa tunggu tular
June 13, 2026, 5:16 pm
Penempatan Rohingya di Hulu Langat mula dirobohkan pemilik tanah
June 13, 2026, 5:03 pm
Hamzah Zainudin umum tubuh Parti Wawasan Negara, nama diilhamkan Abdul Hadi
June 13, 2026, 12:24 pm
Hilang sejak Rabu, mayat lelaki ditemui terapung tersangkut pada timbunan kayu
June 13, 2026, 12:12 pm
'Himpunan Gegar TikTok' singgah pejabat TikTok suarakan isu pencipta kandungan
June 12, 2026, 11:41 am
