TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu salah laku seksual: KPM arah JPN, PPD bertindak tegas tanpa tunggu tular

By
|
Kongsi
image

GEORGETOWN 13 Jun – Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan amaran keras kepada semua pentadbir sekolah, termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), supaya segera mengambil tindakan tegas sebaik sahaja menerima aduan salah laku seksual tanpa perlu menunggu isu berkenaan tular di media sosial.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagaimanapun menegaskan bahawa tindakan yang diambil oleh KPM dalam beberapa kes sebelum ini adalah berasaskan laporan segera yang diterima, bukannya disebabkan tekanan selepas isu tersebut menjadi tular.

Beliau menjelaskan, setiap aduan gangguan seksual melibatkan murid menuntut tindakan proaktif daripada semua pihak termasuk ibu bapa dan guru bagi memastikan laporan polis dibuat dengan pantas demi keselamatan mangsa.

"Apabila ada anak mengadu diganggu secara seksual, ibu bapa mesti ambil tindakan, guru mesti ambil tindakan dan ia mesti dilaporkan kepada pihak berkuasa serta mesti disiasat secara keseluruhan. Kemudiannya, ada susulan daripada itu, termasuk membawa anak ini untuk perlindungan bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga pemeriksaan kesihatan.

"Oleh sebab itu, saya minta untuk semua PPD peka dengan kes salah laku, jangan tunggu sehingga tular dan ambil tindakan sewajarnya dengan terus melaporkan kepada pihak berkuasa," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pembinaan Bangunan Baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Heng Ee di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas kes terbaharu di Sarawak melibatkan seorang guru lelaki yang didakwa menjalinkan hubungan seksual dengan pelajar perempuan berusia 16 tahun sehingga mangsa hamil. Guru terbabit kini telah ditempatkan di PPD sementara menunggu proses siasatan penuh pihak polis selesai.

Fadhlina turut menasihatkan masyarakat agar tidak menjadikan media sosial sebagai saluran utama untuk melaporkan jenayah seksual. Sebaliknya, laporan rasmi terus kepada pihak berkuasa adalah jauh lebih berkesan untuk menjamin perlindungan segera kepada mangsa dan memelihara integriti siasatan.

Perkukuh keselamatan menerusi garis panduan, polisi baharu

Bagi memperkasakan aspek keselamatan di sekolah, Fadhlina memberi jaminan komitmen KPM menerusi pengenalan 'Garis Panduan Sekolah Selamat' dan 'Polisi Perlindungan Murid' terbaharu yang telah dilancarkan semalam. Kedua-dua dokumen ini akan menjadi rujukan utama bagi memperincikan tanggungjawab guru, sekolah, dan ibu bapa dalam menangani kes-kes melibatkan murid.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan KPM sedang menyiasat kes seorang murid Tahun Enam di Perlis yang didakwa mengalami kecederaan serius akibat dibuli, dan menegaskan tiada kompromi akan diberikan kepada pelaku.

Mengulas insiden guru disiplin di Perak yang diserang sekumpulan pelajar selepas menegur isu rambut panjang, Fadhlina menegaskan golongan pendidik juga mempunyai hak undang-undang untuk dilindungi ketika menjalankan tugas. Beliau menuntut semua warga sekolah mematuhi peraturan bagi mengekalkan persekitaran pembelajaran yang selamat serta kondusif.

+ - reset