Berita Berita
Isu buli dan jenayah seksual: Tiada istilah jaga imej institusi, dedah sahaja — Asyraf Wajdi
SHAH ALAM 14 Jun – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa pihak pengurusan tertinggi sama sekali tidak akan melindungi nama atau imej mana-mana institusi sekiranya berlaku kes yang membabitkan isu keselamatan dan kebajikan pelajar.
Beliau memberi jaminan kepada orang ramai, termasuk ibu bapa dan pelajar, supaya tidak berasa bimbang untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan salah laku, budaya buli, atau jenayah seksual yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta Institusi Pendidikan Mara (IPMA).
"Usah risau berkongsi apa sahaja kes salah laku, buli apatah lagi jenayah seksual terkait MRSM atau mana-mana IPMA di media sosial. Tiada istilah nak jaga nama, imej. Setiap laporan saya anggap serius dan wajib disiasat, diambil tindakan segera," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Asyraf Wajdi turut berkongsi pengalamannya sewaktu mula dilantik menerajui Mara pada tahun 2023, di mana beliau menerima lambakan aduan mengenai gejala buli di MRSM dan beberapa IPMA menerusi pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, serta TikTok.
Situasi tersebut telah mendorong beliau untuk melaksanakan siri lawatan mengejut menerusi pendekatan #Terjah tanpa memberikan sebarang maklum balas awal kepada pihak pengurusan sekolah atau institusi terlibat.
Beliau mendedahkan bahawa pada peringkat awal, wujud kecenderungan dalam kalangan pihak tertentu untuk menutup atau menyorok kes-kes buli, selain ada yang meremehkan perbuatan tersebut seolah-olah ia merupakan norma biasa dalam kehidupan berasrama.
Sebagai seorang yang mempunyai latar belakang pendidikan asrama, beliau berikrar bahawa budaya toksik seperti itu wajib dihentikan sepenuhnya dan tidak akan diberi sebarang ruang kompromi.
Bagi menangani isu berkenaan secara menyeluruh, Mara telah memperkenalkan slogan tegas #youtouchyougo bagi memastikan tindakan disiplin yang paling keras dan serta-merta dikenakan terhadap mana-mana pelaku buli.
Beliau turut memberikan amaran keras kepada mana-mana pentadbir MRSM atau IPMA bahawa tindakan tatatertib yang tegas akan diambil sekiranya mereka dikesan cuba menyembunyikan sebarang kes salah laku daripada pengetahuan pihak atasan.
Sebagai langkah pembaharuan jangka panjang selepas mengenal pasti punca utama penularan budaya buli, Mara kini sedang menggerakkan langkah proaktif dengan memperkenalkan projek rintis pelantikan Warden Sepenuh Masa dalam kalangan bekas anggota tentera.
Berita berkaitan
June 14, 2026, 10:01 pm
Nishan cipta sejarah, pemain warisan Malaysia pertama beraksi di Piala Dunia
June 14, 2026, 7:43 pm
Fenomena El Niño diramal bawa cuaca panas dan kering berpanjangan hingga awal tahun depan
June 14, 2026, 7:30 pm
Pekerja kios telekomunikasi rugi RM3,000, polis buru pencuri beg laptop di Setapak Sentral
June 14, 2026, 7:27 pm
PRN Negeri Sembilan: BERSAMA sasar 50% calon wanita, 70% calon bawah usia 50 tahun
June 14, 2026, 7:23 pm
Ops Pewa: Rohingya dikesan sewa kenderaan tempatan jadi teksi, bawa barang tanpa lesen
June 14, 2026, 2:44 pm
Hijrah Selangor lancar HIGHub, sasar bangunkan 4,000 usahawan menjelang 2030
June 14, 2026, 1:17 pm
Ahmad Zahid alu-alukan parti baharu, harap tidak pecah-belahkan orang Melayu
June 14, 2026, 1:09 pm
