TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ops Pewa: Rohingya dikesan sewa kenderaan tempatan jadi teksi, bawa barang tanpa lesen

By
|
Kongsi
image

KUALA TERENGGANU 14 Jun – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mendedahkan sebahagian etnik Rohingya dikesan menyewa atau meminjam kenderaan milik penduduk tempatan untuk menjalankan aktiviti pengangkutan haram seperti membawa penumpang dan mengangkut barang tanpa lesen memandu yang sah.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion memaklumkan bahawa modus operandi itu terbongkar menerusi Operasi Penguatkuasaan Warga Asing (Ops Pewa), di mana sebahagian daripada 93 individu etnik Rohingya yang ditahan sejak 1 Jun lalu dikesan menjadikan motosikal dan kereta persendirian sebagai medium pengangkutan komersial dalam kalangan komuniti mereka sendiri.

Warga asing berkenaan dipercayai menggunakan kenderaan terbabit bukan sahaja untuk mengangkut peralatan kerja sebagai kontraktor, malah turut mengambil upah menghantar murid serta pelajar sekolah.

“Penggunaan kenderaan persendirian ini oleh warga asing untuk membawa penumpang atau mengangkut barang meningkatkan risiko kepada pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan. Ia tidak boleh dipandang ringan kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai lesen memandu kompeten (CDL) selain kenderaan digunakan juga tidak mempunyai perlindungan insurans dan lesen kenderaan motor (LKM) yang sah,” katanya di pejabat JPJ Terengganu di sini hari ini.

Mohd. Zamri turut menambah, sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Pewa tersebut, sebanyak 114 kenderaan yang dipandu warga asing telah disita oleh pihak berkuasa atas pelbagai pelanggaran undang-undang jalan raya.

Selain tindakan sita, sebanyak 559 notis saman turut dikeluarkan terhadap pemandu warga asing dan pemilik kenderaan terlibat bagi memastikan peraturan jalan raya terus dipatuhi demi keselamatan awam.

+ - reset