TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ahmad Zahid alu-alukan parti baharu, harap tidak pecah-belahkan orang Melayu

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 14 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan penubuhan sebarang parti politik baharu di negara ini, namun menaruh harapan agar kemunculan wadah tersebut tidak akan memecah-belahkan lagi perpaduan orang Melayu.

Presiden Umno itu menegaskan bahawa penubuhan parti politik baharu oleh mana-mana individu mahupun pihak seharusnya dimanfaatkan sebagai landasan untuk menyatu-padukan pemikiran orang Melayu secara menyeluruh.

“Apapun wadah yang digunakan apabila akhirnya kita dapat menyatukan, tindakan kita atas agenda negara, agenda Islam dan agenda anak bangsa kita, insya-Allah. Dokongan akan dapat kita berikan kerana kita juga telah bersama-sama untuk bertemu dalam wacana ataupun perbincangan melalui kolaborasi nasional yang telah kita adakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar sejurus selesai menghadiri Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 yang berlangsung di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut menyatakan hasratnya agar segala perbezaan pemikiran politik yang wujud dapat diterjemahkan ke dalam bentuk agenda nasional, agenda Islam, serta agenda anak bangsa tanpa sesekali mengetepikan kepentingan kaum serta agama lain.

Beliau juga sempat menarik perhatian mengenai inisiatif 'Rumah Bangsa' yang diperkenalkan oleh Umno, di mana program tersebut didakwa telah berjaya membuahkan hasil dalam mewujudkan semangat perpaduan nasional yang jitu.

Kenyataan beliau itu dipercayai bagi mengulas tindakan Ketua Gerakan Reset Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam yang mengumumkan penubuhan Parti Wawasan Negara.

Hamzah sebelum ini menjelaskan bahawa parti baharu itu diwujudkan sebagai sebuah wadah penyatuan yang sedia bekerjasama rapat dengan Pas serta parti-parti sehaluan lain demi membentuk kesepahaman politik yang lebih komprehensif.

+ - reset