Berita Berita
Hijrah Selangor lancar HIGHub, sasar bangunkan 4,000 usahawan menjelang 2030
SABAK BERNAM 14 Jun - Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) melancarkan Program Hijrah Innovation & Growth Hub (HIGHub), sebuah inisiatif pembangunan keusahawanan bersepadu yang menyasarkan pembangunan lebih 4,000 usahawan menjelang tahun 2030.
Program yang memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti, pendigitalan perniagaan dan pengukuhan ekosistem usahawan luar bandar itu dilancarkan di Ruang Daya Cipta (RDC) Sabak Bernam hari ini oleh EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Hijrah Selangor, Mohd Najwan Halimi.
Bersandarkan slogan “Memacu Inovasi, Membina Legasi”, HIGHub diwujudkan sebagai pusat sehenti pembangunan keusahawanan berimpak sosial yang memberi fokus kepada usahawan wanita, belia, golongan B40 dan komuniti luar bandar melalui akses kepada pembiayaan, latihan, teknologi digital serta jaringan pasaran yang lebih luas.
Sabak Bernam dipilih sebagai lokasi perintis sebelum model pembangunan itu diperluaskan ke kawasan strategik lain di Selangor.
Penubuhan HIGHub turut menandakan fasa baharu dalam evolusi Hijrah Selangor daripada penyedia pembiayaan mikro kepada pemangkin pembangunan keusahawanan yang lebih holistik menerusi gabungan pembiayaan, pembangunan kapasiti dan transformasi digital.
Sejak 2015 hingga Mei 2026, Hijrah Selangor menyalurkan sebanyak 94,200 pembiayaan kepada lebih 62,000 usahawan di seluruh Selangor dengan jumlah keseluruhan pembiayaan mencecah RM915 juta.
Di Sabak Bernam sahaja, sebanyak 8,013 pembiayaan bernilai RM59 juta telah disalurkan kepada 4,785 usahawan mikro, sekali gus mencerminkan potensi besar pembangunan keusahawanan di daerah berkenaan.
Dalam ucapannya, Mohd Najwan berkata penubuhan HIGHub selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan manfaat pembangunan ekonomi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat termasuk komuniti usahawan luar bandar.
“Selangor terus menjadi peneraju ekonomi negara. Namun, kejayaan ini hanya bermakna apabila manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat. HIGHub diwujudkan bagi memastikan peluang, ilmu, teknologi dan pembiayaan dapat dibawa lebih dekat kepada komuniti yang memerlukannya.
“Pendekatan kita jelas, membawa pembangunan kepada rakyat. Melalui HIGHub, kita mahu melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya tahan, celik digital dan mampu bersaing dalam ekonomi masa hadapan,” katanya.
HIGHub dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara Hijrah Selangor dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang mengendalikan RDC Sabak Bernam sebagai pusat pembangunan komuniti berasaskan inovasi.
Program itu turut mendapat sokongan Majlis Daerah Sabak Bernam, Unifi Business, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad yang menyediakan latihan, perkongsian kepakaran serta khidmat nasihat bagi memperkukuh pembangunan usahawan mikro.
Antara pengisian utama HIGHub ialah latihan pemasaran digital, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), literasi kewangan, pengurusan perniagaan, penghasilan kandungan digital menerusi TikTok Live dan podcast, selain sesi bimbingan serta jaringan perniagaan secara berkala.
Sehingga penghujung tahun ini, HIGHub menyasarkan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 310 usahawan Hijrah Selangor melalui 19 siri latihan dan program pembangunan usahawan yang akan dilaksanakan di RDC Sabak Bernam.
Usahawan yang menyertai program itu juga boleh memanfaatkan kemudahan studio digital, makmal komputer, akses internet berkelajuan tinggi dan ruang kolaborasi yang disediakan bagi menyokong aktiviti pemasaran, pembangunan kandungan digital serta pertumbuhan perniagaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Dato’ Mearia Hamzah berkata HIGHub merupakan sebahagian daripada agenda transformasi digital organisasi itu bagi memperkukuh daya saing usahawan mikro dalam ekonomi yang semakin dipacu teknologi.
“HIGHub bukan sekadar sebuah tempat latihan, tetapi sebuah ekosistem yang menghimpunkan pembiayaan, ilmu, teknologi dan jaringan strategik dalam satu platform yang menyeluruh.
“Melalui inisiatif ini, kami mahu membantu usahawan meningkatkan kemahiran, mengadaptasi teknologi, mengembangkan pasaran dan membina perniagaan yang lebih mampan serta berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata kejayaan HIGHub di Sabak Bernam akan menjadi asas kepada peluasan model pembangunan keusahawanan itu ke kawasan tumpuan program SURI PLUS yang lain termasuk Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat.
Berita berkaitan
June 14, 2026, 10:01 pm
Nishan cipta sejarah, pemain warisan Malaysia pertama beraksi di Piala Dunia
June 14, 2026, 7:43 pm
Fenomena El Niño diramal bawa cuaca panas dan kering berpanjangan hingga awal tahun depan
June 14, 2026, 7:30 pm
Pekerja kios telekomunikasi rugi RM3,000, polis buru pencuri beg laptop di Setapak Sentral
June 14, 2026, 7:27 pm
PRN Negeri Sembilan: BERSAMA sasar 50% calon wanita, 70% calon bawah usia 50 tahun
June 14, 2026, 7:23 pm
Ops Pewa: Rohingya dikesan sewa kenderaan tempatan jadi teksi, bawa barang tanpa lesen
June 14, 2026, 1:17 pm
Ahmad Zahid alu-alukan parti baharu, harap tidak pecah-belahkan orang Melayu
June 14, 2026, 1:14 pm
Isu buli dan jenayah seksual: Tiada istilah jaga imej institusi, dedah sahaja — Asyraf Wajdi
June 14, 2026, 1:09 pm
