TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pekerja kios telekomunikasi rugi RM3,000, polis buru pencuri beg laptop di Setapak Sentral

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 14 Jun – Pihak polis kini sedang giat memburu seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kecurian sebuah beg komputer riba milik seorang pekerja kios telekomunikasi di pusat beli-belah Setapak Sentral, Setapak di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihak IPD Wangsa Maju menerima laporan berhubung kejadian itu selepas mangsa menyedari beg miliknya yang ditinggalkan di atas kerusi di premis tempatnya bekerja telah hilang.

Hasil semakan awal menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati seorang individu yang tidak dikenali telah mengambil beg berkenaan sebelum segera beredar dari kawasan pusat beli-belah tersebut.

“Siasatan awal mendapati beg tersebut mengandungi barangan peribadi, wang tunai serta sebuah komputer riba milik mangsa yang kesemuanya anggaran bernilai RM3,000. Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum kenyataan rasmi polis dikeluarkan, tular sebuah hantaran di aplikasi Threads yang memaparkan klip rakaman CCTV individu terbabit ketika melarikan beg mangsa di kios berkenaan. Pemilik hantaran itu turut mendakwa beg yang hilang mengandungi komputer riba, kad pengenalan, serta beberapa kad bank milik mangsa sebelum mereka tampil membuat laporan polis.

Annas mengulas lanjut bahawa kes berkenaan kini sedang disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk segera menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau terus menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Mat Rosli di talian 010-972 2616 bagi membantu siasatan.

+ - reset