TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar tingkatan dua maut, motosikal rempuh ambulans di persimpangan

By
|
Kongsi
image

KUALA NERUS 16 Jun – Seorang pelajar tingkatan dua dilaporkan maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah ambulans di persimpangan Jalan Kampung Tebauk di sini, petang semalam.

Dalam insiden tragis yang berlaku pada jam 6.50 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Faris Dasuki Bokhairi, 14, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor memaklumkan, siasatan awal mendapati remaja berkenaan ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Tunggal dari arah Batu Enam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Modenas Kriss yang ditunggang mangsa dipercayai gagal mengelak dan merempuh ambulans yang dikatakan sedang membelok untuk masuk ke simpang kanan,” katanya hari ini.

Jasad mangsa kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menjalani tindakan susulan.

Sementara itu, pemandu ambulans yang berusia 19 tahun bersama seorang penumpang yang berada di bahagian hadapan kenderaan tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

+ - reset