Berita Berita
Latihan baling grenad berdarah: TDM sahkan identiti dua anggota maut di Kem Hobart
GURUN 16 Jun – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan dua anggotanya maut selepas terlibat dalam satu insiden letupan ketika menjalani latihan membaling grenad di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah, pagi tadi.
TDM menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa kejadian tragis itu berlaku kira-kira pukul 10.57 pagi. Insiden terjadi semasa pelaksanaan Latihan Membaling Grenad yang merupakan sebahagian daripada Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia.
Dua anggota yang terkorban dikenal pasti sebagai:
-
Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
-
Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
“Kedua-duanya dilaporkan mengalami kecederaan akibat letupan semasa latihan berkenaan.
“Mangsa terbabit segera dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan lanjut. Walau bagaimanapun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” menurut kenyataan itu hari ini.
Jenazah kedua-dua anggota tentera berkenaan akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi tujuan proses bedah siasat.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md. Othman menzahirkan rasa amat dukacita atas kehilangan dua anggota berkenaan, selain menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Beliau turut mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini.
Susulan insiden itu, beliau telah mengarahkan satu siasatan terperinci dijalankan dengan kadar segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Pihak TDM turut memberi jaminan bahawa segala aspek keselamatan latihan akan terus diperketatkan dan penambahbaikan sewajarnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil laporan siasatan itu kelak.
Berita berkaitan
June 16, 2026, 4:13 pm
Remaja perempuan 15 tahun hilang selepas dikesan tidak hadir ke sekolah
June 16, 2026, 3:59 pm
Dua anggota tentera maut terkena bom ketika latihan di Kem Hobart
June 16, 2026, 1:04 pm
Tuduhan pelarian Rohingya dilayan tidak berperikemanusiaan adalah tidak benar - KDN
June 16, 2026, 12:51 pm
177 premis makanan di Pulau Pinang diarah tutup, isu tikus dan makhluk perosak jadi punca utama
June 16, 2026, 12:43 pm
Pelajar tingkatan dua maut, motosikal rempuh ambulans di persimpangan
June 16, 2026, 12:31 pm
Ibu tiri didakwa bunuh anak empat tahun
June 16, 2026, 10:31 am
