TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tuduhan pelarian Rohingya dilayan tidak berperikemanusiaan adalah tidak benar - KDN

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 16 Jun – Kerajaan Malaysia menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan bahawa kanak-kanak migran dan pelarian, termasuk daripada komuniti Rohingya di negara ini, dilayan secara tidak berperikemanusiaan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan, tuduhan kononnya golongan kanak-kanak ini dikurung tanpa pembelaan atau dinafikan hak kebajikan asas adalah tidak benar. Kenyataan sedemikian sama sekali tidak menggambarkan usaha nyata kerajaan dalam menguruskan isu migrasi tidak teratur secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan, dan seimbang dengan keperluan keselamatan negara.

Menurut KDN, pelbagai langkah proaktif telah diambil bagi memastikan kebajikan dan perlindungan golongan berkenaan terus terpelihara, antaranya menerusi penyediaan penempatan Baitul Mahabbah serta pembangunan kerangka Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak yang lebih menyeluruh.

“Sehingga 28 Februari lalu, enam Baitul Mahabbah telah beroperasi di seluruh negara dengan menempatkan seramai 188 kanak-kanak, termasuk tujuh kanak-kanak tanpa penjaga atau yang terpisah daripada keluarga.

"Baitul Mahabbah adalah langkah peralihan dilaksanakan kerajaan sementara kerangka inisiatif alternatif kepada penahanan kanak-kanak yang lebih menyeluruh diperhalusi KDN bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), rakan strategik kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tepis tuduhan aktivis Rohingya di Australia

Penjelasan rasmi KDN ini hadir susulan tindakan seorang aktivis Rohingya, Noor Azizah, yang mengeluarkan kenyataan tidak berasas ketika berucap dalam satu program di sebuah universiti di Australia. Dalam ucapannya, aktivis tersebut mendakwa etnik Rohingya ditindas di Malaysia dan mendakwa lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya ditempatkan di pusat tahanan imigresen serta membesar di sebalik jeriji besi.

Bagaimanapun, KDN menjelaskan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama kementerian sentiasa memastikan kebajikan golongan ini diberi perhatian. Baitul Mahabbah berfungsi sebagai penempatan sementara yang jauh lebih kondusif untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka.

Inisiatif tersebut membolehkan kanak-kanak terbabit dipindahkan keluar dari persekitaran depot tahanan imigresen biasa sementara menunggu proses dokumentasi, pengesahan status, dan penyelesaian lanjut selesai dijalankan.

Sepanjang berada di Baitul Mahabbah, mereka disediakan dengan pelbagai akses penting seperti:

  • Keperluan asas dan penjagaan kesihatan yang sewajarnya.

  • Aktiviti pendidikan tidak formal serta bimbingan asas.

  • Kemudahan riadah yang bersesuaian dengan peringkat umur serta keadaan semasa mereka.

Rancang perluas kapasiti penempatan

Melihat kepada keberkesanan program ini, kerajaan merancang untuk memperluaskan kapasiti serta skop operasi Baitul Mahabbah secara berperingkat pada masa hadapan. Perancangan ini termasuklah melibatkan kategori umur kanak-kanak yang lain, tertakluk kepada kesesuaian kemudahan dan keperluan perlindungan.

KDN turut menyeru semua pihak berkepentingan—termasuk negara asal migran, pertubuhan antarabangsa, rakan serantau, serta aktivis kemanusiaan—supaya bertindak lebih proaktif dalam mencari jalan penyelesaian jangka panjang bagi isu migrasi paksa ini.

Tegas kementerian, fokus global tidak sepatutnya hanya tertumpu kepada kritikan terhadap negara penerima semata-mata, sebaliknya wajib merangkumi usaha tuntas menangani punca sebenar (root cause) yang mendorong berlakunya migrasi paksa, memandangkan isu penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia membabitkan komuniti rentan seperti Rohingya merupakan cabaran keselamatan rentas sempadan yang amat kompleks.

+ - reset