TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Remaja perempuan 15 tahun hilang selepas dikesan tidak hadir ke sekolah

By
|
Kongsi
image

AMPANG JAYA 16 Jun – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dilaporkan hilang selepas didapati tidak hadir ke sekolah sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid memaklumkan bahawa laporan berhubung kehilangan remaja berkenaan telah dibuat oleh ibunya sendiri pada pukul 7.30 pagi, semalam.

Ibu mangsa hanya menyedari kehilangan anaknya selepas dimaklumkan oleh guru kelas bahawa remaja terbabit, Damiea Qalisya Syafri, tidak hadir ke sekolah seperti kebiasaan.

Hasil maklumat yang diterima, pengadu memaklumkan tidak mengetahui punca anaknya keluar dari rumah dan setakat ini tiada sebarang perselisihan faham dilaporkan berlaku dalam kalangan ahli keluarga.

Remaja yang hilang itu dikenal pasti sebagai Damiea Qalisya Syafri, mempunyai ketinggian kira-kira 152 sentimeter, berat badan 52 kilogram, berbadan kurus serta berkulit sawo matang.

Lokasi terakhir remaja tersebut dipercayai dikesan di Blok AM, Jalan Pandan Indah 3/3, Ampang.

Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedudukan Damiea Qalisya untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Maklumat juga boleh disalurkan secara terus kepada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-4289 7222 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faizah Mohd. Anuar di talian 017-3422804.

Dalam perkembangan sama, pihak polis turut menasihatkan golongan ibu bapa serta penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka dengan rapat dan tidak membiarkan mereka bersendirian bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

+ - reset