TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Aksi ikat Sepanyol bawa tuah, pengikut Instagram penjaga gol Cape Verde melonjak 5.8 juta dalam 15 jam

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 16 Jun – Hanya dalam tempoh 15 jam, penjaga gol veteran Cape Verde, Vozinha kini menjadi fenomena baharu di media sosial selepas akaun Instagram miliknya mencatatkan lonjakan bilangan pengikut yang luar biasa.

Fenomena luar biasa itu tercetus susulan persembahan cemerlang yang dipamerkan oleh Vozinha yang berjaya membantu negaranya mengikat pasukan pilihan, Sepanyol, dengan keputusan tanpa jaringan dalam aksi pembukaan Kumpulan H saingan Piala Dunia, semalam.

Berdasarkan tinjauan, jumlah pengikut Instagram wira berusia 40 tahun itu dilaporkan melonjak drastik daripada hanya 20,000 kepada 5.8 juta pengikut dalam sekelip mata. Kehebatan bertaraf dunia yang ditunjukkan oleh beliau telah memikat hati peminat bola sepak dari seluruh pelosok dunia, sekali gus menyaksikan namanya sohor kini di pelbagai platform media sosial.

Dalam perlawanan bersejarah itu, Vozinha yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan (Man of the Match) telah melakukan tujuh penyelamatan penting bagi menghalang cubaan tepat jentera serangan Sepanyol daripada menembusi gawangnya. Beliau turut melakar rekod peribadi sebagai penjaga gol tertua yang berjaya mengekalkan rekod bersih (clean sheet) dalam penampilan pertama di kejohanan berprestij berkenaan.

Lebih menarik dan mencuri perhatian, di sebalik ketangkasannya di padang bola sepak, Vozinha dikatakan hanya bekerja sebagai seorang jurulatih bola tampar pantai di tanah airnya.

Kejayaan mengejutkan memperoleh satu mata bersejarah bagi negara yang sekadar menghuni ranking ke-67 dunia itu merupakan hasil pengorbanan serta komitmen tinggi yang diterjemahkan oleh kapten legenda tersebut.

+ - reset