Berita Berita
Nurul Syazwani setia bersama PN, hormati keputusan bapa, Noh Omar kembali sertai UMNO
SHAH ALAM 19 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh menegaskan pendirian politiknya kekal bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Perikatan Nasional (PN) meskipun bapanya, Tan Sri Noh Omar, mengambil keputusan untuk kembali menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, keputusan yang dibuat oleh bapanya itu merupakan hak peribadi yang wajar dihormati dan tidak akan menjejaskan komitmennya sebagai wakil rakyat PN.
"Memang saya akur dan hormati keputusan abah (Noh) untuk kembali kepada UMNO.
"Sebab kita pun fahamlah dia pun orang cakap ahli politik yang sudah berpengalaman dan saya pasti tujuan dia ke sana demi misinya penyatuan Melayu insya-Allah," katanya ketika ditemui semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas Selangor petang tadi.
Dalam pada itu, Nurul Syazwani mendedahkan bahawa bapanya telah berbincang dengannya sebelum membuat keputusan untuk kembali menyertai UMNO.
"Saya ada bagi pandangan secara terbuka memandangkan abah ketika itu tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam BERSATU.
"Saya tahu ke mana pun abah pergi, jiwa beliau memang jiwa UMNO dan sebahagian besar perjalanan politik dibina dalam parti berkenaan," katanya.
Mengulas kemungkinan beliau mengikut jejak langkah bapanya menyertai UMNO, Nurul Syazwani berkata, keutamaan beliau ketika ini adalah melaksanakan amanah yang diberikan rakyat di kawasan Permatang.
"Bagi saya biarlah apa terjadi pun saya akan teguh membawa suara rakyat di Permatang dan juga di DUN ini.
"Apa yang berlaku hari ini mungkin tidak menggembirakan sesetengah penyokong PN, namun saya serahkan kepada pucuk pimpinan BERSATU dan takdir mengenai hala tuju politik selepas ini," katanya.
Berita berkaitan
June 19, 2026, 8:56 pm
Lebih 200 rumah rosak akibat ribut di Ipoh petang tadi
June 19, 2026, 3:15 pm
Masjid Bukit Bintang bakal tampung 1,500 jemaah, dijangka siap awal tahun depan
June 19, 2026, 2:42 pm
Warga Selangor nikmati rebat cukai taksiran 100 peratus jika pasang teknologi hijau
June 19, 2026, 2:32 pm
KPDN jamin bekalan barangan asas mencukupi menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
June 19, 2026, 1:52 pm
Pelajar perempuan tingkatan empat maut terjatuh dari tingkat tiga sekolah di Sendayan
June 19, 2026, 1:41 pm
