TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kuku tukang masak hitam, gerai kotor, DBKL keluar 16 kompaun, tiga premis diarah tutup 14 hari

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 Jun – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 16 kompaun dan mengarahkan tiga premis makanan di sekitar Jalan Peel, Taman Maluri ditutup selama 14 hari selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan dalam satu Operasi Khas Bersepadu yang dijalankan semalam.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap syarat pelesenan, tahap kebersihan premis serta peraturan kesihatan awam oleh pengusaha perniagaan.

Hasil pemeriksaan mendapati beberapa premis melakukan pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah, gagal mempamerkan lesen perniagaan, selain pengendali makanan tidak mempunyai suntikan anti-tifoid dan sijil kursus pengendali makanan.

Turut dikesan ialah tahap kebersihan premis yang tidak memuaskan, kegagalan menyelenggara perangkap minyak, pencemaran longkang awam serta ketidakpatuhan terhadap syarat penyediaan dan pengendalian makanan.

Susulan itu, sebanyak 16 kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (WPKL) 1979, Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Selain tindakan kompaun, tiga premis makanan turut diarahkan tutup selama 14 hari bermula 19 Jun hingga 2 Julai 2026 bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan, sanitasi dan penambahbaikan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

DBKL menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, tindakan berterusan tersebut penting bagi menjamin tahap kebersihan, keselamatan makanan serta kesejahteraan warga kota.

+ - reset