TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hannah Yeoh tegur PBT, jangan tunggu dah ‘viral’ baru nak baiki kemudahan

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

KUALA LUMPUR 19 Jun – Penyelenggaraan kemudahan awam di Putrajaya perlu dilaksanakan secara konsisten dan tidak hanya diberi perhatian selepas aduan atau rakaman berkaitan kerosakan tular di media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, perkara itu penting kerana Putrajaya merupakan antara hab pelancongan utama yang menerima kunjungan ramai pelancong. 

Menurutnya, pihak berkaitan termasuk Perbadanan Putrajaya (PPj) telah turun padang dan melaksanakan beberapa pembaikan susulan aduan orang ramai berhubung kemudahan seperti lif dan eskalator yang tidak berfungsi.

“Putrajaya merupakan hab pelancongan dan ramai pelancong datang. Kita tidak mempunyai alasan dalam soal kebersihan serta keselamatan.

“Memang terdapat lokasi yang memerlukan peruntukan tambahan untuk kerja menaik taraf, tetapi isu kebersihan dan keselamatan perlu diutamakan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas aduan orang ramai mengenai keadaan beberapa kemudahan awam di Putrajaya yang dikatakan kurang diselenggara.

Hannah berkata, semua pihak bertanggungjawab perlu lebih kerap turun padang bagi memantau keadaan kemudahan di bawah seliaan masing-masing sebelum masalah menjadi lebih serius.

Menurutnya, pihaknya juga sudah berhubung dengan pihak berkaitan dan dimaklumkan bahawa beberapa kerja pembaikan telah dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, penjagaan kebersihan dan penyelenggaraan tidak seharusnya dilakukan hanya apabila sesuatu isu mendapat perhatian meluas di media sosial.

“Sekiranya melibatkan kebersihan, ia sepatutnya dilaksanakan secara konsisten dan bukan hanya kerana ada video yang tular,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengguna media sosial supaya meneliti fakta dan mendapatkan gambaran menyeluruh sebelum menularkan sesuatu isu.

Katanya, setiap permasalahan mempunyai pandangan daripada pelbagai pihak dan maklumat yang disampaikan menerusi sesuatu rakaman mungkin tidak menggambarkan keseluruhan keadaan.

“Sekarang semua orang boleh menjadi wartawan, tetapi maklumat dan fakta yang diberikan mungkin hanya sebahagian kecil.

"Pengguna media sosial perlu bijak menilai sebelum menularkan sesuatu isu,” jelasnya.

+ - reset