TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Masjid Bukit Bintang bakal tampung 1,500 jemaah, dijangka siap awal tahun depan

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

KUALA LUMPUR 19 Jun – Sebuah masjid baharu yang mampu memuatkan lebih 1,500 jemaah bakal diwujudkan di Bukit Bintang dan disasarkan dapat direalisasikan pada awal tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, lokasi serta bangunan bagi pelaksanaan projek berkenaan telah dikenal pasti, manakala proses mereka bentuk dan kerja penambahbaikan sedang dipersiapkan.

“Insya-Allah, dalam masa beberapa bulan lagi kita akan mempunyai sebuah masjid di Bukit Bintang yang sedang diusahakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Kita sudah mengenal pasti kawasan serta bangunan tersebut dan ia boleh memuatkan lebih 1,500 jemaah.

“Kita juga telah menyediakan reka bentuk serta perancangan penambahbaikan.

"Doakan supaya ia dapat direalisasikan secepat mungkin dan kita jangkakan pada awal tahun hadapan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelaksanaan solat Jumaat pertama di Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB), di sini pada Jumaat.

Menurut Zulkifli, kewujudan masjid berkenaan penting berikutan kemudahan solat Jumaat di sekitar Bukit Bintang agak jauh dan tidak mampu menampung jumlah umat Islam yang ramai di kawasan itu.

Katanya, terdapat beberapa masjid dan surau Jumaat di kawasan berhampiran termasuk di Tabung Haji dan Bank Islam, namun kemudahan tersebut tidak terletak betul-betul dalam kawasan Bukit Bintang.

“Usaha ini akan menyediakan ruang yang lebih baik kepada warga Bukit Bintang untuk menunaikan solat Jumaat serta solat lima waktu,” katanya.

Sementara menunggu masjid baharu itu disiapkan, OOBB akan digunakan sebagai lokasi sementara untuk pelaksanaan solat Jumaat dengan kapasiti kira-kira 150 jemaah.

Zulkifli berkata, pihaknya mengambil keputusan memulakan solat Jumaat di pusat komuniti itu tanpa menunggu pembinaan masjid baharu selesai bagi memenuhi keperluan penduduk, pekerja dan pengunjung beragama Islam di kawasan berkenaan.

“Apabila masjid itu siap kelak, pelaksanaan solat akan bertumpu di sana, manakala pusat komuniti ini akan terus beroperasi dengan pelbagai program kemasyarakatan,” katanya.

Pelaksanaan solat Jumaat itu dijayakan dengan kerjasama JAWI, MAIWP, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan OOBB. 

OOBB yang terletak di Jalan Bukit Bintang berfungsi sebagai pusat dakwah dan komuniti serta telah beroperasi sejak 2024. 

+ - reset