TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPAN tidak tolak wujud pelanggaran SOP dalam insiden pelajar 'intern' lemas dalam kolam tangki

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 23 Jun - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden kemalangan maut yang meragut nyawa seorang pekerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana 1, Kuala Selangor pada 16 Jun lalu.

SPAN dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat, termasuk operator atau kontraktor pemegang permit SPAN, sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur keselamatan atau pelanggaran undang-undang berkaitan.

Menurut SPAN, semakan mendapati kontraktor yang melaksanakan kerja pencucian dan penyelenggaraan berkenaan mempunyai permit yang sah serta berdaftar dengan suruhanjaya itu.

“Berdasarkan maklumat awal, terdapat kemungkinan berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur keselamatan kerja di ruang terkurung, termasuk kemasukan pekerja tanpa kebenaran dan sebelum pengesahan keselamatan diberikan.

“Bagaimanapun, sebarang penemuan berkaitan punca sebenar kejadian adalah tertakluk kepada hasil siasatan rasmi dan laporan akhir yang akan dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP),” menurut kenyataan itu hari ini.

SPAN memaklumkan pihaknya memandang serius kejadian berkenaan memandangkan ia melibatkan kehilangan nyawa.

Menurut kenyataan itu, SPAN menerima makluman mengenai insiden tersebut pada 17 Jun sebelum mengadakan lawatan ke lokasi kejadian sehari kemudian.

Hasil maklumat yang diperoleh mendapati kerja pencucian kolam perkhidmatan secara berjadual pada 16 Jun lalu dilaksanakan oleh vendor yang dilantik, Myda Risk & Safety Sdn. Bhd.

“Semasa kejadian, paras air di dalam kolam dilaporkan berada pada paras pinggang. Dua orang pekerja mengalami kesulitan berhampiran kawasan scour point berdiameter 200 milimeter.

“Seorang daripada mereka berjaya diselamatkan, manakala seorang lagi dilaporkan tersangkut di kawasan tersebut,” katanya.

Menurut SPAN, bantuan pernafasan kecemasan (CPR) telah diberikan kepada mangsa, namun beliau disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital UiTM untuk bedah siasat.

“Punca kematian awal dilaporkan sebagai mati lemas. JKKP telah menjalankan lawatan ke lokasi pada 17 Jun dan seterusnya mengeluarkan Notis Larangan.

“Pada 18 Jun, SPAN bersama-sama pihak Air Selangor dan JKKP telah mengadakan lawatan susulan bagi mengenal pasti punca kejadian,” menurut kenyataan itu.

SPAN berkata, JKKP akan menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum melaksanakan kerja berisiko tinggi.

“JKKP juga memaklumkan bahawa laporan penuh akan dikeluarkan selepas siasatan rasmi selesai dijalankan.

“Keselamatan dan kesihatan pekerjaan kekal sebagai keutamaan utama dalam semua pelaksanaan kerja penyelenggaraan agar insiden seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Menurut SPAN, langkah penambahbaikan akan terus diberi perhatian termasuk memperketat pematuhan prosedur keselamatan, kawalan kerja di ruang terkurung, pengawasan kontraktor dan pengurusan risiko di tapak kerja.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar latihan industri dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang terlibat dalam kerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana Perdana disahkan meninggal dunia akibat lemas.

+ - reset