Berita Berita
Kerajaan teliti kaedah baharu lebih adil ganti pengelasan B40, M40 dan T20
KUALA LUMPUR 23 Jun - Kerajaan sedang meneliti kaedah baharu yang lebih inklusif dan saksama bagi menentukan kumpulan sasar bantuan sosial, namun pengelasan pendapatan B40, M40 dan T20 masih dikekalkan buat masa ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, had kelayakan umum bagi bantuan sosial dan kemiskinan ketika ini masih berpandukan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional terkini sebanyak RM2,705 yang ditetapkan pada 2024.
Menurut beliau, usaha menambah baik kaedah pengelasan itu merupakan sebahagian agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“Kerajaan sedang mempertimbang kaedah-kaedah penentuan kumpulan sasar yang lebih inklusif dan saksama yang menjadi sebahagian agenda RMK13.
“Langkah ini bagi melengkapkan pengelasan berasaskan pendapatan kasar semata-mata, yang tidak menggambarkan beban kewangan sebenar isi rumah akibat perbezaan lokaliti, demografi dan corak perbelanjaan isi rumah serta kos sara hidup,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berhubung pelaksanaan kelas sosioekonomi baharu bagi menggantikan pengelasan B40, M40 dan T20.
Akmal Nasrullah berkata, antara pendekatan yang sedang dikaji ialah penggunaan Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI).
Menurutnya, kaedah itu tidak hanya menilai pendapatan kasar isi rumah, sebaliknya mengambil kira pelbagai komitmen kewangan termasuk potongan berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), cukai pendapatan dan zakat.
“Selain itu, kaedah ini turut merangkumi kos Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) mengikut lokaliti, demografi dan corak perbelanjaan isi rumah serta harga barangan dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, PAKW ketika ini berfungsi sebagai panduan literasi kewangan setempat bagi membantu rakyat merancang perbelanjaan kehidupan wajar keluarga mengikut keperluan masing-masing.
Mengenai tempoh pelaksanaannya, beliau berkata kajian semula pengelasan pendapatan tersebut masih memerlukan penelitian lanjut serta ketersediaan data isi rumah yang lengkap bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya.
Berita berkaitan
June 23, 2026, 10:34 am
SPAN tidak tolak wujud pelanggaran SOP dalam insiden pelajar 'intern' lemas dalam kolam tangki
June 23, 2026, 10:25 am
Polis buru lelaki menyamar anggota keselamatan bawa senjata tiruan di Kepong
June 23, 2026, 9:48 am
Polis tahan lelaki tiba-tiba tumbuk muka bekas isteri depan anak
June 23, 2026, 8:31 am
PRN Johor: Dua Ahli Parlimen jadi calon PH, Dr Maszlee di Puteri Wangsa
June 22, 2026, 10:41 pm
Pelajar Tingkatan Satu parah terjatuh dari bangunan sekolah di Ipoh
June 22, 2026, 10:23 pm
Johor terima RM14.6 bilion di bawah Anwar, dakwaan dianaktirikan tidak benar - Saifuddin
June 22, 2026, 6:20 pm
LRT3 Shah Alam mula beroperasi Ahad ini – Anthony Loke
June 22, 2026, 6:04 pm
Tak tahan tekanan politik, Perdana Menteri Britain letak jawatan
June 22, 2026, 5:52 pm
