TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita trauma dakwa lelaki hulur ular dalam kereta, MBMB giat kesan suspek

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

MELAKA 24 Jun - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kini sedang mengesan seorang lelaki yang menjadi perhatian di media sosial selepas didakwa bertindak menghulurkan seekor ular kepada seorang wanita dalam satu kejadian yang tular.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata pihaknya memandang serius insiden tersebut dan sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti individu yang terlibat.

Beliau menjelaskan bahawa pihak majlis tidak pernah mengeluarkan sebarang kebenaran, permit mahupun lesen kepada mana-mana penghibur jalanan yang menggunakan haiwan, kerana ia melibatkan isu keselamatan dan kebersihan awam.

Tambah beliau, jika individu berkenaan berjaya dikenal pasti, tindakan kompaun akan diambil tanpa kompromi. 

Dalam masa yang sama, siasatan turut dijalankan bagi menentukan sama ada lelaki tersebut pernah memohon lesen sebelum ini.

Shadan turut menegaskan bahawa aktiviti penghibur jalanan yang melibatkan haiwan adalah tidak dibenarkan sama sekali, tidak kira sama ada haiwan itu berbahaya atau tidak.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas memaklumkan bahawa pihak polis setakat ini belum menerima sebarang laporan berkaitan insiden tersebut.

Menerusi perkongsian di media sosial, kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika mangsa bersama rakan dan adik sedang menikmati “angin malam” di kawasan Bangunan Stadthuys Banda Hilir sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali.

Lelaki berkenaan kemudiannya didakwa bertindak menghulurkan ular kepada individu dalam kenderaan, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan penumpang.

Lelaki tersebut dipercayai turut merakam aksi tersebut menggunakan telefon bimbitnya sendiri.

Situasi berkenaan pada mulanya dipercayai sebagai gurauan, namun bertukar menjadi panik dalam kalangan penumpang kenderaan yang tidak menjangka tindakan tersebut,

Pengguna media sosial yang dipercayai merakam kejadian itu segera keluar dari kereta berkenaan kerana bimbang terhadap keselamatan.

Sementara itu,seorang pengguna muhaarmeerjb mengecam tindakan lelaki berkenaan.

“Kau tak kenal perempuan tu tapi tiba-tiba bawa masuk ular dalam kereta dia sambil rakam,” tulisnya.

Netizen lain turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan berbahaya, serta boleh mengundang risiko panik atau kecederaan kepada orang awam.

+ - reset