TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Media sosial gagal patuh pengesahan umur berdepan denda hingga RM10 juta

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 24 Jun – Platform media sosial yang gagal mematuhi keperluan ketat pengesahan umur pengguna di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) bakal berdepan tindakan penalti kewangan yang berat sehingga RM10 juta.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempunyai kuasa penuh untuk mengeluarkan notis ketidakpatuhan sekiranya mana-mana pemberi perkhidmatan aplikasi dikesan culas memenuhi kewajipan yang termaktub di bawah Bahagian III akta berkenaan.

Beliau menjelaskan, mana-mana syarikat pemberi perkhidmatan berlesen yang menerima notis amaran tersebut diwajibkan untuk membayar penalti kewangan yang telah ditetapkan, atau mengemukakan representasi rasmi kepada MCMC bagi tujuan semakan semula kes.

"Bagi ketidakpatuhan kepada Bahagian III Akta 866, pemberi perkhidmatan berlesen boleh dikenakan penalti kewangan tidak melebihi RM10 juta sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta 866," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang ingin tahu mengenai mekanisme pematuhan syarikat gergasi media sosial terhadap pengesahan had umur pengguna, serta bentuk tindakan yang boleh diambil sekiranya mereka ingkar.

Mengulas lanjut, Fahmi turut memaklumkan bahawa Seksyen 30 Akta 866 memberi kuasa interpretasi kepada MCMC untuk mengeluarkan arahan bertulis yang mengikat kepada pemberi perkhidmatan berlesen berhubung pematuhan menyeluruh sebarang peruntukan undang-undang tersebut.

"Kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan merupakan satu kesalahan dan apabila disabitkan di mahkamah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta serta denda tambahan tidak melebihi RM100,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan pihak kementerian dan MCMC telah pun memulakan siri libat urus yang intensif dengan syarikat media sosial sejak Januari lalu menerusi pelaksanaan medan uji kaji kawal selia (regulatory sandbox) bagi memperincikan mekanisme terbaik sistem pengesahan umur ini.

Setakat ini, lebih 30 sesi libat urus secara bersama dan berasingan telah digerakkan bagi meneliti kekangan teknikal dan model perniagaan setiap platform.

Walaupun setiap platform mempunyai cabaran serta ekosistem yang berbeza, Fahmi menegaskan kerajaan tetap komited melaksanakan ketetapan ini demi keselamatan ekosistem digital negara, selaras dengan amalan penguatkuasaan global yang kini turut dilaksanakan di lebih 25 buah negara.

+ - reset